Home Tempatan Malaysia Airlines papar doa sebelum berlepas

Malaysia Airlines papar doa sebelum berlepas

Menyiarkan doa selama 15 saat pada skrin tempat duduk penumpang dalam pesawat diamalkan sejak 2014.

SHARE

PETALING JAYA: Malaysia Airlines berkata doa dipaparkan pada skrin tempat duduk penumpang dalam semua penerbangan komersil mereka sebelum berlepas.

Jabatan komunikasi korporat syarikat itu berkata pemaparan doa itu diamalkan sejak 2014.

“Ia disiarkan sejak 15 saat. Kami paparkan doa pada semua skrin dalam pesawat kami sebelum berlepas,” kata jurucakap jabatan itu kepada FMT dalam pesanan melalui WhatsApp.

FMT sempat menghubungi syarikat penerbangan tambah murah AirAsia dan Firefly berhubung isu itu. Kedua-duanya tidak mahu mengulas perkara ini.

Mereka diminta mengulas laporan media yang memetik Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mencadangkan syarikat penerbangan tempatan memulakan penerbangan dengan berdoa.

Menurut laporan Malaysiakini, Zulkifli berkata orang Islam digalakkan membaca doa sebelum memulakan perjalanan memohon perjalanan yang selamat dan lancar.

Beliau berkata ia amalan baik yang patut digalakkan.

“Justeru, kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), AirAsia, Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan,” katanya menurut laporan itu.

Laporan itu berkata syarikat penerbangan Arab seperti Saudi Air, Etihad dan Qatar Airways menyiarkan rakaman doa sebelum berlepas.

Isu doa menerjah ke muka depan media selepas seorang juruterbang AirAsia X dilaporkan meminta penumpang penerbangan D7237 membaca doa apabila pesawatnya mengalami masalah enjin pada 25 Jun lalu.

Bekas menteri Zaid Ibrahim mengkritik tindakan juruterbang itu, dan berkata tindakan itu mungkin boleh menambah kerisauan penumpang.

Bagaimanapun Zaid dikritik sesetengah pihak, yang berkata tidak salah meminta penumpang berdoa.

Penerbangan D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur dilaporkan mengalami masalah teknikal yang menyebabkan pesawat bergegar seperti “mesin basuh”, menurut beberapa penumpang.

Pesawat berpatah balik ke Perth 90 minit selepas berlepas.

Free Malaysia Today

Comments