Home Tempatan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu jelas isu kad diskaun

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu jelas isu kad diskaun

SHARE
Sumber gambar: nst.com.my

KUALA LUMPUR 20 Jun – Penggunaan kad diskaun dalam kalangan pengguna Islam untuk menjalankan urusan pembelian menimbulkan kekeliruan selepas dikatakan haram ekoran terdapat unsur ‘al-Gharar’ atau tidak jelas, selain penipuan dan perjudian.

Ketua Aktivis Persatuan Peng­guna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkaitan se­perti Majlis Fatwa Kebangsaan dan jabatan-jabatan agama Islam perlu tampil menjelaskan perkara sebenar bagi mengelak kekeliruan daripada terus berlaku.

Katanya, isu tersebut melibatkan kebajikan pengguna dan tanggungjawab pihak yang menyediakan kemudahan kad diskaun.

“Adalah perlu Majlis Fatwa Kebangsaan serta jabatan agama Islam di seluruh negara memberi penjelasan jelas mengenai penggunaan kad diskaun ketika membeli-belah, sama ada benar haram atau sebaliknya.

“Penjelasan yang teliti dapat mengelakkan kekeliruan berterusan dan pengguna dapat menikmati pembelian tanpa penipuan pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video ceramah yang tular dalam media sosial oleh seorang penceramah dikenali sebagai Esa Deraman mengenai hukum menggunakan kad diskaun dalam urusan pembelian.

Dalam ceramah tersebut, Esa menyatakan penggunaan kad diskaun adalah haram jika pengguna perlu membayar yuran berkala seperti setahun atau enam bulan sekali kerana wujud ketidakjelasan dalam urusan jual beli mengenai berapa banyak diskaun yang boleh diperoleh selepas pengguna membayar yuran keahlian.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, penggunaan kad diskaun yang dikenakan bayaran secara tidak langsung boleh mengaburi mata pengguna untuk berbelanja lebih ekoran ber­anggapan akan diberi potongan harga apabila menggunakan kad berkenaan.

Jelas beliau, keadaan itu memberi peluang kepada para peniaga atau pihak yang menyediakan kad diskaun menaikkan harga barangan lebih tinggi demi mengaut keuntungan.

“Pengguna sering dikaburi dengan pelbagai jenis tawaran serta promosi untuk mengga­lakkan mereka berbelanja lebih banyak dan kad diskaun adalah satu daripadanya.

“Sehubungan itu, diharap pihak berkuasa agama Islam seluruh negara dapat memberi garis panduan atau penjelasan terperinci mengenai penggunaan kad diskaun untuk menjaga kebajikan pengguna,” ujarnya.

UTUSAN ONLINE

Comments