Home Tempatan MAIWP Jawab Isu Putar & Tular Zakat

MAIWP Jawab Isu Putar & Tular Zakat

SHARE

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai agensi mengurus zakat di Wilayah Persekutuan merasa terpanggil untuk sekali lagi memberi penjelasan dan maklum balas terhadap beberapa perkara yang pernah dibangkitkan oleh Mufti Perlis Dr Maza dalam wawancara beliau bersama Astro Oasis pada 10 Jun 2016 yang lalu apabila isu ini didapati tular semula di media sosial baru-baru ini.

Dr Maza telah membangkitkan beberapa perkara berulang kali seperti penggunaan wang zakat yang tidak diuruskan secara efektif, pemberian wang zakat yang hanya diberikan kepada pelajar yang mengambil jurusan agama di pusat pengajian dalam dan luar negara, ramai fakir miskin yang terbiar dek sikap jabatan zakat yang hanya menunggu golongan ini datang sendiri ke jabatan meminta bantuan, permohonan bantuan yang rumit kerana pemohon perlu mengisi pelbagai borang, pemohon bantuan yang perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama sebelum mendapat bantuan zakat dan penerima-penerima wang zakat disusahkan dengan upacara atau majlis penyampaian bantuan di pentas yang memaksa mereka menunggu berjam-jam lamanya.

Menurut MAIWP, zakat di peringkat Wilayah Persekutuan telah diuruskan dengan baik dan efektif di mana antaranya sebanyak 28 skim bantuan zakat merangkumi aspek keperluan asasi, pendidikan, berdikari, kebajikan dan dakwah, Bantuan Kewangan Bulanan, bantuan perubatan dan bantuan zakat persekolahan telah disediakan.

Bantuan Kewangan Bulanan sebagai contoh telah membantu hampir 30,000 orang penerima bantuan setiap bulan antara RM200 hingga RM700 sebulan. Bukan itu sahaja, MAIWP juga menyediakan Bantuan Kecemasan di mana bantuan akan diberikan atau diluluskan serta merta untuk membantu mereka yang terputus sumber pendapatan, ditimpa musibah dan sebagainya.

Berkenaan bantuan wang zakat yang kononnya hanya diberikan kepada pelajar jurusan agama, MAIWP berkata bahawa sejak sekian lama mereka memanfaatkan dana zakat bukan hanya bagi membantu pelajar jurusan pengajian Islam sahaja sebaliknya meliputi pelbagai bidang pengajian lain seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain bidang kritikal bagi para pelajar yang belajar sama ada dalam mahupun luar negara.

Dalam isu sikap jabatan zakat yang tidak proaktif kerana hanya menunggu pemohon bantuan datang sendiri ke jabatan zakat memohon bantuan pula, sebenarnya, MAIWP telah menubuhkan 8 Skuad Jejak Asnaf sejak tahun 2012, Skuad Jejak Gelandangan dan menjalinkan kerjasama dengan NGO-NGO, media-media, persatuan penduduk dan pusat khidmat masyarakat bagi sama-sama membantu mengesan golongan asnaf di kawasan penempatan masing-masing.

Hasilnya, ribuan asnaf telah mendapat pelbagai manfaat dari usaha-usaha aktiviti turun padang untuk menjejaki mereka di Wilayah Persekutuan.

Menyentuh soal pemohon yang disusahkan untuk mengisi pelbagai borang dan tempoh proses kelulusan yang mengambil masa yang lama, pihak MAIWP masih lagi menggunakan borang sebagai salah satu cara untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Namun borang yang disediakan adalah setebal 1 helai sahaja (2 halaman).

Maklumat yang diperlukan adalah maklumat asas bagi mengesahkan pemohon benar-benar menepati syarat dan termasuk dalam golongan asnaf. Sekiranya yang hadir adalah warga emas atau tidak mampu untuk mengisi, maka petugas akan membantu melengkapkan permohonan. Proses kelulusan bantuan zakat kemudiannya akan dikeluarkan dalam tempoh 1 ke 5 hari sahaja sekarang.

Pengagihan zakat MAIWP berjalan sepanjang tahun. Namun, bagi membolehkan aktiviti pengagihan yang dibuat turut mendapat liputan di media, maka beberapa program diadakan dalam setahun bagi membolehkan masyarakat terutamanya para pembayar zakat mengetahui ke mana zakat yang dibayar diagihkan.Tetamu VIP yang dijemput bukan bertujuan meraih kepentingan politik atau sebagainya, sebaliknya dengan kehadiran mereka, media akan lebih berminat untuk membuat liputan program.

MAIWP menegaskan sekali lagi bahawa sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam termasuk zakat adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan bukan semuanya terletak di bawah kerajaan Persekutuan. Oleh itu, perkara ini perlu jelas difahami dan sekiranya terdapat isu berkaitan zakat yang dibangkitkan, maka penting untuk dinyatakan di mana ia berlaku agar mudah bagi agensi mengurus zakat memberikan maklum balas.

Comments