Home Tempatan MAIDAM sedia khidmat guaman percuma kepada asnaf

MAIDAM sedia khidmat guaman percuma kepada asnaf

SHARE

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan menawarkan khidmat guaman percuma kepada golongan asnaf di negeri ini, bermula akhir tahun ini.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata ia adalah hasil kerjasama strategik MAIDAM, Persatuan Peguam Syarie Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Hasil perbincangan awal ini, MAIDAM akan membiayai kos guaman golongan asnaf yang mempunyai kes di Mahkamah Syariah.

“Ia sebagai khidmat sosial peguam syarie untuk bersama membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf dan menyelesaikan proses pendakwaan di mahkamah secepat mungkin,” katanya selepas menyampaikan cek bantuan sebanyak RM25,000 kepada pesakit kronik anak mualaf di sini, hari ini.

Sehingga 30 Jun lalu, MAIDAM membelanjakan RM1.9 juta untuk keperluan golongan mualaf di Terengganu, termasuk pembayaran bil hospital, ubatan dan keperluan asas lain.

Beliau berkata, ketika ini khidmat guaman percuma ada disediakan oleh Biro Bantuan Guaman, namun kes mahkamah semakin bertambah setiap masa dan pihaknya mengambil inisiatif itu untuk membantu mempercepatkan proses di mahkamah syariah.

“Keutamaan diberi kepada golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk membayar khidmat guaman, terutama bagi kes membabitkan proses perceraian yang jumlahnya melebihi RM1,000 dan ke atas, bergantung kepada kes,” katanya.

Berita Harian

Comments