Home Tempatan Mahu bantu ubah nasib Rohingya

Mahu bantu ubah nasib Rohingya

SHARE

KUALA LUMPUR – Tidak sanggup melihat kesengsaraan etnik Rohingya berterusan, seorang bekas graduan universiti di Myanmar mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelarian itu di negara ini.

Berkelulusan Ijazah Pengajian Bahasa dari Universiti Sittwe, Myanmar,  Muhammad Amin Nurul Hoque, yang merupakan pelarian etnik Rohingya, yakin bahawa hanya dengan pelajaran, nasib buruk yang menimpa mereka dapat diubah.

“Saya tiada duit nak berikan kepada mereka, mungkin dengan mengajar bahasa Inggeris ia dapat memudahkan mereka untuk berkomunikasi dan berdepan dengan masyarakat dunia kelak.

“Hanya melalui pendidikan sahaja yang mampu merubah kehidupan masyarakat Rohingya… sebab itu saya cuba mencurahkan sedikit ilmu yang saya ada kepada mereka,” kata guru berusia 24 tahun itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Muhammad Amin, yang sudah berada di Malaysia sejak empat tahun lepas, mengajar bahasa Inggeris kepada lebih 40 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun di Madrasah Ethnic Rohingya Committee of Arakan Malaysia (ECRA), di Serdang, Selangor.

Menurut Muhammad Amin, sepanjang dua tahun bergelar tenaga pengajar di beberapa madrasah etnik Rohingya, saban hari beliau melihat raut wajah yang mengharapkan persengketaan di negaranya akan berakhir.

“Saya kerap kali diajukan soalan daripada mereka, sama ada peperangan yang berlaku sekian lama di negara kami itu akan berakhir?.

“Walaupun kebanyakan mereka dilahirkan di negara ini (Malaysia) dan tidak pernah merasai detik peperangan itu, namun, rata-rata mereka ingin sangat pulang semula ke negara asal,” katanya.

Muhammad Amin, anak kedua dari lima beradik, sentiasa berharap untuk bertemu semula keluarganya di tanah airnya suatu hari nanti.

“Walaupun kehidupan di sini (Malaysia) jauh lebih baik berbanding negara saya di Myanmar, namun perasaan sedih itu tetap ada terutamanya ketika menjelang Aidilfitri.

“Pernah satu ketika saya menangis mengenangkan nasib ibu dan ayah serta adik beradik yang berada di sana. Namun, tekad saya yang ingin membantu masyarakat Rohingya di sini untuk mendapat pendidikan yang terbaik sentiasa menjadi pembakar semangat agar terus berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.

“Pengorbanan saya hari ini akan menentukan kecemerlangan kanak-kanak ini untuk hari esok,” kata Muhammad Amin.

Beliau turut berharap, suatu hari nanti, kerajaan Malaysia membuka peluang kepada anak-anak Rohingya ini untuk mendapat pendidikan asas yang formal di sekolah-sekolah awam di negara ini.

Seperti Muhammad Amin, anak jati Kuala Lumpur, Noraini Dhiauddin, 39, juga mempunyai impian ingin mengubah nasib masyarakat Rohingya.

Wanita berperwatakan ceria, berkelulusan Sarjana Sains Pembangunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu percaya bahawa setiap orang berhak mendapat akses kepada pendidikan asas yang sempurna, termasuklah masyarakat Rohingya.

“Saya ingin buka mata masyarakat mengenai siapakah etnik Rohingya ini dan bagaimana melalui pendidikan, nasib sesebuah bangsa dapat diubah dan secara tidak langsung ia akan menepis tanggapan negatif yang sering  dilemparkan terhadap golongan ini.

“Tidak dinafikan, ramai yang skeptikal dengan kehadiran mereka di negara ini…tetapi percayalah kehadiran mereka bukan untuk merampas hak masyarakat tempatan tetapi mereka hanyalah golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan dari semua pihak,” katanya.

Noraini, yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sains, di Madrasah ECRA berkata beliau akan sentiasa membantu golongan itu untuk berinteraksi dengan masyarakat lain daripada hanya bergaul dengan kelompok mereka sahaja.

“Saya harap, rakyat Malaysia akan sentiasa peka dengan nasib mereka ini dan saling mengamalkan sikap saling membantu agar perpaduan antara manusia sejagat sentiasa terjalin,” katanya.

Menurut statistik Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), sehingga akhir April ini, terdapat 150,662 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan 57,924 orang daripada mereka merupakan kaum etnik Rohingya.

Sinar Online

Comments