Home Antarabangsa Mahkamah putuskan Ahok bersalah hina Islam

Mahkamah putuskan Ahok bersalah hina Islam

SHARE

Bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina agama Islam didapati bersalah, memetik laporan BBC.

Kes tersebut mendapat liputan meluas media antarabangsa yang menganggap ia sebagai ujian tahap toleransi agama di Indonesia.

Sebelum ini, menurut laporan dpa, para hakim Indonesia dijangka membuat keputusan dalam kes membabitkan Ahok yang didakwa menghina agama Islam hari ini.

Pihak pendakwa raya meminta hukuman penjara setahun ditangguhkan selama dua tahun ke atas Ahok yang tewas dalam pemilihan gabenor Jakarta bulan lalu kepada calon beragama Islam, Anies Baswedan.

Ini bermakna Ahok tidak perlu menjalani hukuman penjara jika hakim memenuhi permintaan pendakwa raya, melainkan jika beliau melakukan kesalahan lain dalam tempoh dua tahun.

Kawalan keselamatan menjadi ketat di sekitar bangunan kerajaan yang ditukar menjadi mahkamah sementara di Jakarta Selatan dengan pihak polis yang bersenjatakan senapang automatik berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Dalam satu majlis rasmi pada bulan September, Purnama memberitahu penduduk tempatan bahawa lawannya ‘berbohong’ dengan memetik al-Quran melarang daripada mengundi gabenor bukan Islam.

Video ucapan beliau tersebar di internet dan menyebabkan ratusan ribu umat Islam menuntut Ahok didakwa semasa mengadakan perhimpunan pada bulan Oktober, November dan Disember tahun lalu.

Comments