Home Tempatan Mahkamah Perintah KDN Fail Laporan Pakar Berhubung Penggunaan Kalimah Allah

Mahkamah Perintah KDN Fail Laporan Pakar Berhubung Penggunaan Kalimah Allah

SHARE

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan laporan pakar berhubung persoalan sama ada penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang beragama Islam dalam permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence.

Perkara itu dimaklumkan peguam Annou Xavier, yang mewakili Jill, wanita Kristian berbangsa Melanau, kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Annou berkata laporan pakar itu akan difailkan oleh KDN melalui Jabatan Peguam Negara berhubung persoalan sama ada penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat Islam atau boleh digunakan oleh penganut Kristian.

“Laporan perlu difailkan sebelum atau pada 14 Julai ini dan pihak kami perlu menunggu laporan pakar itu bagi melihat isi kandungannya,” katanya yang turut memaklumkan bahawa 19 Sept ini ditetapkan untuk pendengaran merit dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili KDN dan kerajaan selaku responden berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian itu bagi mengenal pasti pakar yang terbabit dalam laporan tersebut.

Jill memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Ogos 2008 supaya lapan CD yang mengandungi kalimah Allah dipulangkan kepadanya atas alasan dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimportnya.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, dirampas daripada Jill, dari Sarawak, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 11 Mei 2008.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD berkenaan dipulangkan kepadanya tetapi tidak mengeluarkan pengisytiharan seperti dipohonnya, bahawa dia berhak untuk menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD itu selepas menolak rayuan kementerian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan memerintahkan kementerian memulangkan CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.

Panel itu turut memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Jill bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia boleh menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.

Bernama

Comments