Home Tempatan ‘Mahasiswa jangan takut turun Himpunan Akta 355’

‘Mahasiswa jangan takut turun Himpunan Akta 355’

SHARE

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) memberi jaminan kepada mahasiswa di negara ini bahawa mereka tidak akan diambil tindakan oleh pihak universiti sekiranya menghadiri himpunan menyokong pindaan Akta355 di Kuala Lumpur minggu depan.

Timbalan Presiden GAMIS Muhd Faizzuddin Muhd Zai berkata, himpunan itu telah mendapat permit dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berterima kasih kepada Jawatankuasa dan penganjur kerana telah mengusahakan supaya perhimpunan ini dibenarkan dan dijamin keselamatan mereka.

“Positif dari sudut mahasiswa kerana ia bukan macam himpunan sebelum ini. Ia bukan tidak sah dan dibenarkan oleh DBKL dan dijamin keselamatan oleh PDRM.

“Kita ingin nyatakan pada mahasiswa seluruh Malaysia jangan takut dan tidak ada undang-undang yang boleh dikenakan ke atas kamu kerana ini dijamin oleh DBKL dan PDRM,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mahasiswa selepas perasmian Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Jelasnya sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang diambil tindakan, pihaknya akan bersama-sama mereka bagi menuntut keadilan.

“Jika diambil tindakan, GAMIS tidak teragak-agak akan bersama mereka dalam melawan kezaliman dan ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu Presiden GAMIS Muhammad Syukri Alimar Shidi pula berkata mahasiswa tidak perlu takut untuk turun memandangkan ia adalah isu umat Islam namun telah dipolitikkan.

“Untuk isu ini mahasiswa tak perlu takut , ia bukan isu politik tapi dipolitikkan kerana ia isu umat Islam dan isu dakwah yang perlu dikedepankan.

“Kebimbangan saya bila anggap ia isu politik dan mahasiswa yang punya kekuatan yang besar tapi dikecilkan,”katanya yang turut menjangkakan kehadiran 10,000 penyertaan mahasiswa.

PAS menganjurkan himpunan itu pada 18 April di Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap usaha presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menambah hukuman maksimum bagi kes-kes di Mahkamah Syariah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz sebelum ini menyarankan PAS berhimpun di Stadium Titiwangsa.

Namun pihak DBKL akhirnya membenarkan parti itu mengadakan Himpunan Akta355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Comments