Home Tempatan Maahad Tahfiz Perlu Diberi Peruntukan Kerajaan – PERTAMA

Maahad Tahfiz Perlu Diberi Peruntukan Kerajaan – PERTAMA

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) menzahirkan ucapan takziah berhubung insiden kebakaran yang melibatkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat dan mendoakan kesemua mangsa yang terkorban ditempatkan di sisi Allah SWT bersama kalangan para solihin dan diterima sebagai syahid.

Menurut Yang Dipertua PERTAMA Datuk As’ari Bin Ibrahim, PERTAMA memandang serius insiden kebakaran di penempatan sekolah-sekolah tahfiz kerana ini bukan insiden yang pertama dalam masa terdekat.

“Sekolah-sekolah tahfiz menempatkan satu aset negara yang sangat penting dan perlu diberi peruntukan serta perhatian oleh semua agensi kerajaan seluruh negara untuk memastikan perkara sedemikian tidak berlaku. Jika sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah vernakular diberi peruntukan yang dapat menjamin keselamatan pelajarnya, mungkin telah tiba masanya untuk pihak berwajib melihat apa yang perlu dibuat dengan lebih gigih supaya dapat membantu menjaga aset negara ini.”

Demi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan di maahad-maahad tahfiz terjamin, Datuk As’ari berkata bahawa PERTAMA turut menyokong arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pemeriksaan yang perlu dilakukan oleh semua pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas semua pusat tahfiz di ibu negara dan Putrajaya.

Malah, PERTAMA akan mengkaji kewajaran bagi mengadakan kursus pengurusan untuk semua mudir-mudir pusat tahfiz dan madrasah di seluruh negara bagi mendedahkan kepada mereka tentang pengurusan pusat tahfiz secara profesional.

“Oleh itu, PERTAMA juga ingin mendesak semua agensi kerajaan seluruh negara seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan-Jabatan Agama dan Majlis Perbandaran seluruh negara supaya membuat pemeriksaan dan pertauliahan untuk beroperasi ke atas semua maahad tahfiz dan madrasah. Mana-mana maahad tahfiz yang tidak menepati syarat wajib yang ditetapkan hendaklah dilarang daripada beroperasi sehingga bantuan diberi untuk melengkapkan keperluan infrastruktur semua maahad tahfiz dan madrasah.”

“Kami mendoakan seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban supaya diberi ketenangan dalam menghadapi suratan takdir ini. Biarlah insiden kebakaran yang berlaku pada hari ini menjadi sempadan untuk masyarakat kita dan marilah kita berdoa supaya ALLAH SWT memberi kita kekuatan dan iltizam untuk memastikan semua usaha dibuat supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi. Kita tentu sekali tidak menafikan takdir tetapi kita juga merasakan yang usaha gigih perlu dilaksanakan,” ujar Datuk As’ari mengakhiri bicara.

Comments