Home Tempatan Maahad Tahfiz Manzil Furqan jadi pilihan

Maahad Tahfiz Manzil Furqan jadi pilihan

SHARE

Berbekal niat suci untuk membimbing kanak-kanak seawal usia 7 tahun menguasai dan menjadi pencinta al-Quran, akhirnya dengan izin ALLAH SWT, lahirnya Maahad Tahfiz Manzil Furqan.

Maahad yang terletak di Taman Seri Jaza, Padang Demit Kubang Kerian itu kini menjadi pusat menimba ilmu dan dikendalikan seorang penulis buku terkenal Rahsia Menghafaz al-Quran- Sistematik Siri 1 iaitu Kamal Yusof ar-Rantawi.

Berbekalkan pengalaman sebagai perunding hafazan al-Quran, Akademi Dakwah dan Taklim, Kamal menguruskan maahad tersebut dengan bantuan lima tenaga pengajar terpilih.

Kamal selaku pengetua maahad berkata, penubuhan pusat pengajian itu berkait rapat dengan dirinya sendiri sebagai seorang penceramah yang mana pengikut bengkelnya mengharapkan beliau mewujudkan maahad berbekalkan ilmu dimilikinya.

Selain itu, penubuhan maahad itu juga bukan dilakukan secara suka-suka, tapi bagi pendakwah itu, beliau mengambil pedoman daripada Rasulullah SAW sendiri bagaimana cara Baginda berdakwah dan mendidik.

“Nabi sendiri seorang pendidik yang agung, Murabbi Ummah. Nabi Muhammad SAW boleh mendidik orang yang paling teruk dalam dunia dengan perangainya yang minum arak dalam tengkorak, tawaf secara bertelanjang, boleh berubah menjadi orang paling baik.

“Rahsianya memang tidak boleh lari, segalanya ada dalam al-Quran. Ada beberapa ayat dalam al-Quran menyentuh mengenai pendidikan. Saya terokai, Nabi berdakwah dengan membacakan ayat al-Quran, mengajar kitab dengan hikmatnya sekali.

“Saya berusaha untuk realisasikannya. Hikmatnya di sini adalah kebijaksanaan. Nabi mengajar sahabatnya menjadi bijak. Jadi kita dalam pendidikan mesti mengajar budak jadi bijak, bukan sahaja pandai,” katanya.

Maahad  yang beroperasi atas tanah wakaf perseorangan itu kini menempatkan lebih 30 pelajar terdiri daripada kanak-kanak dari Johor, Kedah, Kuala Lumpur dan majoritinya Kelantan.

Ia juga menyediakan asrama untuk pelajar yang tinggal jauh.

Pilihan ibu bapa

Berkongsi keistimewaan belajar di sini, Kamal memberitahu segalanya dilakukan dengan penuh keberkatan agar pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 7 hingga 16 tahun ini mendapat hikmatnya dan  memperoleh ilmu berkualiti.

“Yang penting, kita ‘mensucikan’ pelajar. Kita buang semua tabiat negatif terlebih dahulu sebelum mereka disemai dan didik dengan ilmu-ilmu agama ini. Barulah mereka boleh menerima dengan baik.

“Sebagaimana sekolah lain kita mengajar hafazan dan al-Quran. Cuma bezanya, sistemnya yang berpandukan buku ‘Rahsia Menghafaz al-Quran-Sistematik Siri 1’   berdasarkan pengalaman saya.

“Kita gunakan sistem manzil. Setiap pelajar diberikan buku ini. Di sekolah ini juga pada sebelah pagi sampai tengah hari kita belajar al-Quran hafazan. Petangnya kita mengajar bahasa Arab dan akademi,” katanya.

Uniknya juga maahad itu, ia menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di samping memberi penekanan pembelajaran secara kreatif serta hafalan 44 hadis dalam setahun.

“Anak-anak diberi peluang beriadah, belajar memanah dan berenang. Kita beri pengalaman belajar dalam suasana menyeronokkan,” katanya.

“Ibu bapa hantar anak-anak ke sini kerana yakin dengan sistem al-Quran yang diajar secara sistematik. Kita sentiasa buat bengkal, kerana kita ada sistem ‘Speed’ dan ‘Kilat’ (kita selesaikan hafazan dalam masa tiga bulan).

“Yang utama kita guna sistem al-Quran Manzil. Kita ada satu cara belajar yang paling cepat dan unik. Tidak ada di Malaysia setakat ini.

“Kita ada sistem pembelajaran pantas, dan berjaya menggunakan kaedah ini untuk belajar bahasa Arab dengan pelajar boleh huffaz dalam masa enam bulan dan bertutur dalam bahasa Arab dengan fasih,” katanya.

Tidak mengejar bahasa Arab sahaja, Bahasa Inggeris juga ditekankan yang diajar pada setiap petang.

Tidak dinafikan ramai ibu bapa mahukan anak mereka kuasai al-Quran dengan cepat, jika boleh mampu menghafal dalam masa tiga bulan.

Menurut Kamal, perkara itu tidak mustahil untuk dipraktikkan namun beliau lebih memilih menggunakan cara sederhana.

“Lagi baik jika anak-anak mengambil masa lama untuk menguasai bahasa Arab dan Inggeris, tetapi penting sekali adalah ilmu yang dikuasai itu berkualiti,” katanya.

Di sini, dalam masa empat tahun, pelajar sudah boleh menghafaz dengan baiknya 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, anak-anak didik di sini memulakan episod menuntut ilmu menyuburkan benih-benih mulia dan mencari keredaan ALLAH SWT bermula seawal jam 5 pagi dimulakan dengan solat tahajud.

“Setiap hari mereka diwajibkan membaca surah Yasin dan surah al-Mulk, Sajadah dan al-Wakiah. Kami ada jadual rutin yang dikuti anak-anak di sini,” katanya.

Pilihan dalam dan luar negeri

Disebabkan maahad tersebut menjadi pilihan dalam dan luar negeri, Kamal berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurang RM100,000 lagi peruntukan bagi meningkatkan kemudahan.

Pihaknya perlu berikhtiar untuk menempatkan sekurang-kurangnya 50 lagi pelajar baharu yang mahu mengikuti pengajian di situ.

Keadaan maahad yang sebelum ini merupakan sebuah homestay juga sempit dan tidak dapat menampung jumlah permintaan semakin ramai itu.

“Kita juga berhasrat mencari tapak kekal sekurang-kurangnya seluas lima ekar tanah, kami harap ada yang sudi membantu.

“Tidak kira apa bentuk  bantuan, sumbangan tenaga, wang ringgit dan sebagainya kita alu-alukan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu anak-anak menjadi seorang huffaz, mereka boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun maahad  tersebut- 553131014717 (Maybank). Sebarang pertanyaan boleh menghubungi beliau di talian 018-9142965 atau (Amira-014-5454944) dan (Uztaz Mat-016-2966949).

Belajar atas kerelaan sendiri

Mohd Zarith Irfan Zuad Firdaus, 9, berkata, dia memilih untuk belajar di maahad itu dengan kerelaannya.

“Saya tahu di sini sistem belajarnya terbaik sebab itu saya datang. Saya mahu menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

“Dalam masa dua bulan saya sudah boleh hafaz satu juzuk setengah,” katanya.

utusan online

Comments