Home Tempatan Luluskan RUU355 – Mufti Melaka

Luluskan RUU355 – Mufti Melaka

SHARE

Kuala Lumpur: Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sohibus Samahah Datuk Haji Abdul Halim Bin Tawil menyeru kepada semua umat Islam khasnya di Malaysia untuk sama-sama berusaha menegakkan Islam dan memikirkan langkah-langkah serius bagi menghadapi tribulasi dan cabaran yang mencabar kedaulatan agama Islam.

Hal ini dapat dicapai dengan meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) dan sesetengah golongan bukan Islam tidak terikut-ikut menentang cadangan pindaan tersebut membuta tuli.

“Wahai masyarakat yang bukan Islam, apakah tertegaknya pelaksanaan syariat Islam akan menzalimi mereka yang tidak Islam? Sebenarnya prinsip syariat Islam adalah menegakkan keadilan. Dan mana-manapun kalau kita lihat kepada negara dalam sejarah, apabila daulah dan kerajaan Islam tertegak, orang bukan Islam dan orang Islam terbela. Tidak ada dizalimi, tidak ada disakiti.”

“Apabila kita bercakap tentang menolak sebarang bentuk kritikan, tohmahan, penghinaan, perlekehan ataupun merendahkan martabat Islam di negara kita, tidak ada cara lain kecuali kita kena meletakkan bagaimana pelaksanaan undang-undang itu.”

Mengakhiri ucapan beliau dalam program Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 yang berlangsung baru-baru ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Haji Abdul Halim berharap agar RUU355 diluluskan supaya perjuangan menegakkan agama Islam terdaulat di Malaysia.

“Untuk mendaulatkan perjuangan (menegakkan Islam), luluskan Akta RUU355. Satu agenda yang nampak kecil, tetapi ia mempunyai manfaat. Wahai orang yang bukan Islam, jangan kamu terfikir bahawa kamu dizalimi dengan terpindanya akta RUU tadi. Yang ada ialah untuk maqasid syariah kita; menjaga kemaslahatan, kepentingan umat Islam di negara kita.”

Comments