Home Tempatan Luaskan pasaran produk halal Malaysia

Luaskan pasaran produk halal Malaysia

SHARE

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap produk-produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang halal untuk membantu menjana ekonomi negara, demikian menurut penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba.

Beliau berpendapat, sudah tiba masanya produk-produk ini diberi penekanan memandangkan pada waktu ini, ekonomi negara berada pada tahap tidak stabil.

“Malaysia ada banyak PKS. Kalau kita tengok, ada produk halal di negara ini yang berpotensi mendapat pasaran di luar.

“Namun, apa yang dilihat hanyalah pengusaha ini bergerak secara sendirian. Kerajaan sudah boleh memainkan peranan lebih besar membantu mereka,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, kebanyakan negara luar sudah mengiktiraf dan mencari-cari produk halal untuk pasaran di negara mereka.

“Kita selalu pergi luar negara dan sukar mencari barangan halal. Negara luar pun mencari-cari. Dengan cara ini bukan sahaja ekonomi negara dapat dijana malah membantu PKS melebarkan sayap mereka ke peringkat global.

“Kenapa kita nak segan dengan produk tempatan? Tidak hanya makanan, malah produk halal merangkumi semua aspek.

“Sudah banyak negara maju yang memerlukan produk-produk seperti ini bagi merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan di negara mereka. Malaysia harus memanfaatkannya. Jangan biarkan PKS bersendirian,” katanya.

Selain itu, katanya Malaysia juga boleh menggunakan medium lain seperti pelancongan dan pelaburan untuk menarik orang luar.

“Malaysia ada banyak tempat menarik. Gunakan ia sebaik mungkin untuk menarik lebih ramai pelancong datang.

“Kita tidak boleh lagi bergantung harap pada medium sedia ada. Kerajaan perlu perluas lagi supaya ekonomi negara dapat dijana daripada pelbagai sudut,” katanya.

Jelasnya, menarik pelabur asing juga antara kaedah yang perlu diberikan penekanan.

“Pelabur asing sangat penting. Namun mereka perlu benar-benar yakin sebelum membuat pelaburan.

“Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah menghenti dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej negara di mata dunia. Kita perlu jadi negara yang bersih daripada segala unsur negatif,” katanya

Sinar Online

Comments