Home Tempatan ‘Lim zahir sikap anti-Islam, hasut MP bukan Muslim’

‘Lim zahir sikap anti-Islam, hasut MP bukan Muslim’

SHARE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menggesa pemimpin BN menentang usul pindaan Akta 355 sebagai berniat jahat.

Menurut timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, tindakan anggota parlimen Gelang Patah itu jelas menunjukkan DAP sebuah parti anti-Islam dengan menghasut anggota parlimen bukan Islam supaya tidak menyokong pindaan akta berkenaan.

“Kenyataan Lim Kit Siang kenyataan yang jahat dan ia usaha untuk menghasut dan menakutkan rakyat Malaysia berkenaan satu akta yang hakikatnya tidak pernah dihalang ketika dipinda kali pertama pada 1984.

“DAP nak zahirkan anti-Islam dengan menghasut anggota parlimen bukan Islam di kalangan BN untuk timbulkan kesangsian kepada akta yang hakikatnya ia pernah dipinda sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Pindaan Akta 355 bertujuan meningkatkan had hukuman oleh Mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Ia pertama kali dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam bentuk rang undang-undang persendirian dan kini berada pada kedudukan keenam dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Lim sebelum ini mendesak empat pemimpin kanan parti komponen BN meletakkan jawatan sebagai menteri jika kerajaan memberi laluan agar usul persendirian itu dibahas di parlimen.

Lim mendakwa, ia ekoran janji mereka untuk berundur sekiranya usul pindaan Akta 355 itu berjaya dibahaskan.

Comments