Home Tempatan Lihat Sejarah Kejatuhan Melayu Islam Kepada Penjajah – Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Lihat Sejarah Kejatuhan Melayu Islam Kepada Penjajah – Khairuddin Aman Razali at-Takiri

SHARE

Kuala Nerus, Terengganu: “Golongan yang menggunakan bangsa sendiri untuk menghancurkan bangsa sentiasa wujud dalam sejarah. Cuba lihat sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Islam ke tangan penjajah, maka tidak pelik ia boleh berulang dalam sejarah moden,” kata ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai terdapatnya kecenderungan pihak tertentu menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan kesatuan dan kekuatan orang Melayu di negara ini yang dibangkitkan oleh Profesor Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Sidek Baba pada Forum Survival Politik Islam Dalam Siasah baru-baru ini, sebagai berkata, “Kehancuran orang Melayu boleh mengakibatkan pelbagai natijah termasuk melemahkan agama Islam di Malaysia.”

“Orang Melayu dan umat Islam Malaysia sepatutnya mengambil iktibar kemusnahan umat Islam di Andalusia, Baghdad dan negara-negara Islam lain yang tumbang akibat kelemahan sendiri,” tegasnya.

Menurut Mohd Khairuddin, langkah berhati-hati yang perlu diambil oleh orang-orang Melayu agar sejarah tidak berulang ialah dengan menegaskan prinsip, yakni prinsip bahawa kepentingan Islam mesti diutamakan dan prinsip bahawa keistimewaan Melayu seperti kehendak Perlembagaan mesti dipertahankan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS berkata, orang Melayu perlu meneguhkan kesatuan Muslim atas semangat menegakkan keadilan dan tolong menolong atas dasar kebajikan dan takwa.

Ditanya bagaimana mereka harus bijak memilih atau mengundi calon pada PRU14 kelak supaya hak Melayu dan Islam tidak tergadai, Mohd Khairuddin menasihatkan, “Hendaklah dilihat rekod sesebuah parti dalam menegaskan prinsip Islam dan prinsip melibatkan hak istimewa Melayu dalam Perlembagaan.”

Justeru, “Lihatlah siapa yang memperjuangkan hak Bahasa Melayu dan siapa yang menghancurkannya dengan projek Dwibahasa atau Dual Language Programme(DLP) atau projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang ternyata gagal dan penuh kontroversi dengan kemerosotan mendadak pencapaian Sains dan Matematik selepas dilaksanakan.”

“Lihatlah juga siapa yang merampas tanah rizab Melayu tanpa gantian yang wajar,” soal beliau lagi.

Comments