Home Antarabangsa Liga Arab Bincang Isu Baitulmuqaddis Bulan Depan

Liga Arab Bincang Isu Baitulmuqaddis Bulan Depan

SHARE

Kaherah, Mesir: Menteri-Menteri Luar Arab Saudi akan mengadakan persidangan pada awal bulan hadapan untuk membincangkan tindak balas terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, kata Liga Arab.

Menurut laporan oleh The Malay Mail Online, Sekretariat Umumnya berkata persidangan Liga Arab itu akan diadakan pada 1 Februari di Kaherah.

Keputusan Trump pada bulan Disember lalu untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis telah mencetuskan pertempuran di wilayah Palestin dan keputusan tersebut turut ditolak dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam mesyuarat yang sama, Menteri-Menteri Luar Arab Saudi mendesak agar AS membatalkan keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan berkata peranan Washington sebagai penaja keamanan Israel-Palestin tidak lagi sah.

Ekoran daripada itu, Jordan berkata pada Sabtu lepas bahawa Liga Arab akan mencari pengiktirafan antarabangsa bagi negara Palestin dan Jerusalem Timur sebagai ibu negara berikutan tindakan AS tersebut.

Israel mula menduduki Jerusalem Timur dan Tebing Barat selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967 dan segala penaklukannya ke atas Baitulmuqaddis tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Setakat ini, isu status ibu negara haram Israel adalah antara isu yang paling kontroversi dalam konflik Israel-Palestin.

Comments