Home Antarabangsa Library & Bookshop for Gaza sasar 1,000 buku berbahasa Inggeris

Library & Bookshop for Gaza sasar 1,000 buku berbahasa Inggeris

SHARE
MOSSAB Abo Toha, yang mengumpul buku-buku bahasa inggeris untuk projek "Library & Bookshop for Gaza", bagi membaca buku bahasa inggeris dengan kanak-kanak di taman di rumah keluarganya di Beit Lahia di utara Gaza. - Foto AFP

GAZA: Mossab Abu Toha tidak pernah meninggalkan Gaza, sebaliknya menjadikan buku sebagai pintu keluar.

Kini beliau berusaha membuka perpustakaan buku berbahasa Inggeris pertama di wilayah Palestin yang dikepung itu.

“Hantarkan buku berbahasa Inggeris kepada kami, sama ada baharu atau terpakai,” kata pembaca buku tekal berusia 24 tahun itu menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Seperti sebahagian besar rakyat Gaza, Abu Toha terperangkap dalam wilayah enklaf sehingga impian mengembara dikekang oleh sekatan Israel dan Mesir.

“Kebebasan bermula apabila seseorang membebaskan fikirannya. Saya sudah membaca puluhan buku dalam bahasa Inggeris sehingga saya ‘mengembara’ ke segenap pelosok dunia sepanjang masa.

“Ini menjadikan saya berasa berada di dunia yang sama sekali berlainan,” katanya yang juga graduan sastera Inggeris dari Universiti Islam Gaza.

Israel terus mengenakan kepungan ke atas Gaza sejak sedekad lalu, manakala sebahagian besar sempadannya dengan Mesir ditutup.

Mereka yang dapat mengambil kesempatan setiap kali Mesir membuka sempadan, sebenarnya tidak tahu bila mereka boleh pulang kerana ia jarang berlaku.

Dalam wilayah yang mementingkan penghantaran apa saja barang keperluan asas asalkan mudah, sastera selalunya menjadi mangsa politik.

“Ada sedikit saja buku dalam bahasa Inggeris yang sampai ke sini selepas diterbitkan kerana sekatan itu,” katanya.

Sejak dilancarkan Julai lalu, laman Library & Bookshop for Gaza memiliki 2,500 pengikut dan berjaya mengumpulkan lebih daripada 200 buku termasuk daripada penderma Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, selain AS$2,000 (RM8,880).

Bagaimanapun, proses penghantaran masih lagi menjadi masalah.

Tahun lalu, Israel pernah menahan kiriman bungkusan ke Semenanjung Gaza selama beberapa bulan kerana kononnya pemerintah Hamas menggunakannya untuk menghantar peralatan senjata.

Penghantaran dipulihkan kembali pada Disember yang disambut gembira oleh Mossab di laman Facebook.

Buat masa ini, 200 buku yang diterima dan perpustakaan peribadi Mossab yang memiliki koleksi 400 bahan bacaan ada di kediaman keluarganya di Beit Lahia, utara Gaza.

Matlamatnya ialah 1,000 buku lagi.

Daripada koleksi bukunya, beliau menekankan tiga buku daripada ahli falsafah AS, Noam Chomsky, yang dihantar kepada Mossab secara peribadi.

Pada 2014, tentera Israel melancarkan serangan ketiga terhadap Gaza sejak Hamas berkuasa pada 2007.

Antara lokasi yang dibom ialah Universiti Islam, sekali gus menyebabkan kedai buku bahasa Inggerisnya rosak teruk.

“Saya terkejut. Tentera Israel yang disokong Barat mengebom buku dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan kerajaan Hamas, Mohammed al-Sherif, berkata sekitar 30 perpustakaan musnah dalam tempoh tiga peperangan.

Gaza kini memiliki 18 perpustakaan dengan sebahagian besar menyimpan koleksi buku dalam bahasa Arab.

“Israel membenarkan buku dibawa masuk ke Gaza tetapi buku politik masih dilarang,” katanya. – AFP

Berita Harian

Comments