Home Tempatan LGBT Salah Di Sisi Islam – Kata Pakar

LGBT Salah Di Sisi Islam – Kata Pakar

SHARE

KUALA LUMPUR: Homoseksual dalam Islam adalah satu jenayah yang melanggar tatasusila kekeluargaan dan kemasyarakatan. Allah SWT telah menjelaskan tentang liwat dan perlakuan yang berlaku di kalangan umat Nabi Lut a.s sebagai perbuatan keji melalui firmannya dalam Surah al A’raf:80-84.

Allah SWT memang telah menurunkan azab kepada umat Nabi Lut di atas perlakuan homoseksual yang jelas bertentangan dan dilarang dalam agama Islam, kata Setiausaha Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM – sebuah NGO di bawah Jakim) Dr Mohd Izwan Md Yusof.

Menurutnya, daripada beberapa hadis yang sahih pun, memang terdapat hukuman yang berat kepada pelaku homoseksual oleh Nabi SAW sendiri, cuma tinggal lagi kita sebut selain daripada aspek hukuman kita kena juga memberi aspek bimbingan, penerangan dan nasihat kepada komuniti LGBT ini supaya mereka sedar apa yang perlu mereka lakukan khususnya LGBT Muslim.

Mengulas lanjut berkenaan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas peguam yang pernah mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat, Muhammad Afiq Mohamad Noor tentang isu LGBT mengenai persoalan adakah terdapat pandangan yang pro LGBT dari kalangan ulama Islam? Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, setakat ini memang tidak ada, kalau ada pun pandangan yang terpencil macam Ibnu Hazm tetapi masih bersetuju menyatakan bahawa homoseksual itu adalah yang terlarang di sisi agama.

Ditanya adakah LGBT ini boleh dilihat sebagai sejenis penyakit? Beliau berkata, kalau perkara itu mungkin boleh ditanya kepada pakar dalam bidang psikiatris ataupun kaunseling, cuma bagi beliau selaku orang yang dalam bidang agama, perlakuan itu maksudnya sesuatu yang jelas ada sumber dalam agama, sama ada al-Quran ataupun hadis memang melarang perlakuan itu.

Beliau berkata, cara terbaik untuk mengubati hal ini ialah kita perlu berbalik semula kepada beberapa pandangan ulama, ataupun kita katakan pulang ke pangkuan agama ataupun lebih tepat kita katakan juga kembali semula ke fitrah asal.

Dr Mohd Izwan berkata, misalnya kalau kita seorang lelaki cuba memupuk naluri kita untuk minat terhadap pasangan berlainan jenis iaitu di kalangan perempuan, walaupun perkara ini amat sukar dan memerlukan masa tetapi dengan beberapa inisiatif ataupun ikhtiar yang dilakukan, misalnya seperti berpuasa ataupun berusaha untuk berkahwin sekiranya sudah ada kemampuan maka, itu jalan yang terbaik untuk kumpulan ini kembali kepada fitrah.

Ditanya apakah punca mereka ini terjebak ke lembah LGBT? Beliau menjelaskan, banyak faktor sebenarnya, dan jika boleh kita rumuskan ianya terdapat sekurang-kurangnya 5 perkara iaitu yang pertama, cara mereka dibesarkan, boleh jadi dibesarkan tidak mengikut jantina yang asal contohnya anak lelaki dipakaikan baju perempuan.

Kemudian, Dr Mohd Izwan menerangkan lagi, iaitu perkara yang kedua mungkin pengamal LGBT ini ada pengalaman hitam pernah dirogol atau diliwat ataupun dipaksa melakukan oral seks.

Menurutnya, perkara yang ketiga pula mungkin mereka ini pernah dibuli atau diejek disebabkan hal ini juga akan memberikan kesan kepada emosi mereka.

Manakala yang keempat menurut beliau, mungkin mereka ini pernah melihat pornografi yang pada asalnya mungkin hanya melihat yang biasa tetapi akhirnya pergi kepada yang lebih jauh dan luar biasa, maksudnya yang melakukan seks sama jenis dan seumpamanya.

“Faktor kelima mungkin disebabkan oleh persekitaran, pergaulan dengan rakan-rakan yang ada kecenderungan seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, sefaham dan sejauh pembacaan beliau, mereka ini memang ada label gelaran-gelaran khusus dikalangan ulama terdahulu contohnya, jika lelaki bersifat keperempuanan dipanggil sebagai mukhannas, kemudian kalau yang transgender pula dan disebut-sebut dalam hadis itu kita panggil al-mutasyabbih iaitu yang menyerupai, sama ada lelaki yang nak menyerupai perempuan ataupun perempuan menyerupai lelaki.

“Manakala kalau dari sudut gay ataupun lesbian dia pergi kepada gelaran umum contohnya kalau dalam hadis Nabi SAW disebut “man ‘amila ‘amalan qaumu lutin” yang bermaksud “barangsiapa yang melakukan perlakuan kaum Lut”, jadi itu sahaja label-label secara umum untuk golongan LGBT ini, kalau pun ada,” katanya.

Ditanya mengenai apakah saranan beliau untuk golongan yang bukan sahaja aktif mempertahankan LGBT malah mempromosikan gejala itu menggunakan nama agama seolah-olah ianya boleh diterima dalam masyarakat? Dr Izwan Md Yusof berpendapat, perkara ini merupakan sesuatu yang tidak sewajarnya dilakukan sebab kita yakin dikalangan komuniti LGBT Muslim sepanjang kajian dalam tesis PHD beliau yang bertajuk Perspektif Komuniti Lesbian, Gay dan Transgender Muslim di Malaysia Terhadap Perlakuan Homoseksual dan Konsep Perkahwinan dalam Islam sekitar tahun 2016, beliau mengkategorikan LGBT Muslim di Malaysia kepada tiga golongan.

Beliau berkata, golongan yang pertama ialah mereka yang telah berhijrah maka kumpulan ini kita kena bantu dan memberikan sokongan untuk mereka istiqamah dalam penghijrahan itu.

Katanya, kumpulan yang kedua pula mungkin masih terlibat tetapi mereka merasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan dan mereka juga telah bermujahadah untuk melawan daripada mengikut kehendak hawa nafsu maka, kumpulan ini kita perlu berikan nasihat dan bimbingan berterusan.

Manakala kumpulan yang ketiga pula yang memang kita kata mereka ini adalah golongan yang yakin perlakuan ini sesuatu tidak salah di sisi agama bahkan akan mungkin pergi lebih jauh menggunakan hujah-hujah agama untuk membenarkan.

“Jadi kumpulan ketiga inilah yang kita kena berhadapan dan perlu diberi hujah balas kepada mereka supaya mereka boleh melihat di sana sebenarnya terdapat pandangan lain tentang apa yang mereka yakini selama ini adalah jauh menyimpang,” katanya.

Comments