Home Tempatan LGBT Jadi Murtad Kerana Kecewa Dalam Hidup

LGBT Jadi Murtad Kerana Kecewa Dalam Hidup

SHARE

KUALA LUMPUR: Terdapat sejumlah golongan LGBT Muslim memilih untuk murtad kerana menyangka adalah mustahil bagi seorang Muslim untuk mengalami tarikan seksual terhadap sesama jantina, menurut Mohammed Yusof bin Dawood Gany, bekas pensyarah Kaunseling dan Psikologi.

Beliau berkata, “Mereka mempunyai kesukaran untuk bertoleransi dengan kedudukan yang kabur. Jadi mereka kena pilih salah satu. Inilah yang dimaksudkan dengan pemikiran rigid, hitam atau putih atau all or non-thinking.”

“Bagi mereka yang melepaskan identiti agama, mereka inilah LGBT yang akhirnya menjadi ateis atau setidak-tidaknya menjadi agnostik (percaya kepada Tuhan tetapi tidak terikat dengan mana-mana sistem kepercayaan agama),” katanya lagi.

Faktor gaya pemikiran ini boleh jadi faktor sekunder yang dipacu oleh faktor-faktor primer tertentu seperti “kekecewaan dengan hidup, benci dengan diri sendiri kerana rupa paras yang kurang menarik (rupa paras sangat penting dalam dimensi gay) putus cinta, masalah keluarga dan lain-lain lagi yang menyebabkan seseorang berpotensi untuk memberontak terhadap Tuhan,” menurutnya lagi.

Meskipun golongan LGBT murtad yang ditemuinya gemar mengemukakan hujah-hujah saintifik untuk mempersendakan agama, konon menolak Islam setelah melakukan kajian yang mendalam mengenai sains, namun pada hakikatnya mereka murtad hanya kerana mengalami kekecewaan dalam hidup.

Beliau berkata, “Banyak kali saya bertemu dengan golongan LGBT yang mempunyai masalah akidah, masalah mereka sebenarnya bukanlah dengan Islam itu pada mulanya. Hanya setelah menjadi ateis atau tidak mengidentifikasikan diri sebagai Muslim, barulah mereka belajar menghujat Islam dengan hujah-hujah saintifik sedangkan punca sebenar mereka menjadi ateis bukanlah kerana fakta-fakta saintifik tersebut.”

“Bahkan ia berpunca daripada kekecewaan dengan hidup, benci dengan fizikal diri sendiri, hubungan kekeluargaan yang tidak baik, bapa pendera atau kaki perempuan, putus cinta,” katanya lagi.

Comments