Home Tempatan Letakkan Institusi Agama Bawah Majlis Raja-Raja – Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Letakkan Institusi Agama Bawah Majlis Raja-Raja – Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

SHARE

Kuala Lumpur: Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa, pentadbiran hal ehwal Islam perlu diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja manakala agensi-agensi Persekutuan perlu dibataskan untuk menguatkuasakannya.

Ini bagi mengelakkan agensi agama disalah guna untuk kepentingan politik dan membolehkan maruah institusi itu dikembalikan.

“Kita lihat sebelum ini wujud campur tangan politik dalam agensi seperti JAKIM ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini, contohnya ketika isu Rang Undang-Undang (RUU) 355.”

“Sepatutnya nak bawa cadangan di Parlimen pun perlukan persetujuan raja-raja, tetapi sehingga saat ini, setahu kami Majlis Raja-Raja tidak pernah perkenankan pun.”

Tambahnya lagi seperti dalam sebuah portal tempatan, cadangan meletakkan agensi Islam di bawah Majlis Raja-Raja tidak bererti institusi itu akan terbabit secara langsung dalam urusan harian agensi berkaitan, sebaliknya ia memastikan agensi agama tidak melanggar bidang kuasa ditetapkan Majlis Raja-Raja.

Menurut Ketua PKR Perak Dr Muhammad Nor Manuty pula, idea menghalang campur tangan politik dalam pentadbiran agama adalah satu idea yang baik tetapi ia perlu diperhalusi supaya tidak mendatangkan konflik.

“Perincian perlu diperhalusi melalui rundingan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja bagi memastikan tiada salah faham antara institusi diraja dan agensi yang bertanggungjawab dalam pentadbiran agama.”

Ketika ini, sebanyak 12 agensi hal ehwal Islam berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, iaitu JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji (TH), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ini juga termasuk Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dan Yayasan Waqaf Malaysia, selain Al-Hijrah Media Corporation .

Comments