Home Tempatan Lesen hotel larang staf wanita bertudung ditarik balik

Lesen hotel larang staf wanita bertudung ditarik balik

SHARE

Kerajaan hari ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen pengusaha hotel jika mereka didapati melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar hari ini.

“PBT diarah tarik balik lesen pengusaha hotel tidak benarkan pekerja wanita Islam memakai tudung,” kata Noh dipetik Bernama.

Isu larangan pekerja wanita Islam yang bertugas di bahagian depan hotel mengenakan tudung menjadi perhatian beberapa hari lalu apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) membuat pendedahan mengenainya.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan amali.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Berang dengan kenyataan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan sama ada lebih baik bagi pekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan sesebuah hotel di negara ini berbogel daripada memakai tudung.

“Adakah telanjang bogel lebih baik dari kita pakai tudung di kaunter?” katanya semalam.

Nazri yang terkenal dengan kelantangannya itu turut menyifatkan kenyataan MAH yang mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung sebagai kurang ajar dan suatu bentuk diskriminasi.

Bagaimanapun, Nazri berkata pihaknya tidak ada kuasa berhubung perkara terbabit kerana ia di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Lesen lesen operasi sesebuah hotel dikeluarkan PBT.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments