Home Antarabangsa Lembu korban untuk masyarakat Islam Kemboja

Lembu korban untuk masyarakat Islam Kemboja

SHARE

Sebanyak 31 ekor lembu disumbangkan rakyat Malaysia melalui program ‘Jejak Asnaf @ Korban di Bumi Kemboja’ bagi menjalankan ibadah korban untuk masyarakat Islam dari Kampong Cham, Kemboja hari ini.

Kira-kira 500 penduduk kampung bersama sekitar 200 sukarelawan dan peserta program, yang dianjurkan Maahad Tahfiz Baitul Tariq di Klebang, Melaka, bergotong-royong menyediakan juadah bagi sambutan Hari Raya Aidiladha dan kenduri rakyat yang meriah di perkarangan Masjid Al-Kausar Daulah Qatar di sana.

Dua ekor daripada lembu berkenaan disembelih untuk jamuan kenduri rakyat itu yang antaranya menyediakan gulai kari rakyat negeri Melaka dan masakan gulai masyarakat tempatan berkenaan selain daging rebus dan sup tulang, di samping juadah lain seperti lepat pulut, bepang, wajik kelapa dan kerepek pisang.

Penduduk tempatan Rozan Zulkifli, 20, berkata program ibadah korban di kampung berkenaan pada kali ini berlainan dengan sebelum ini kerana kenduri rakyat turut diadakan dan semua penduduk kampung berkenaan bergotong-royong menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati bersama.

“Ibadah korban pada kali ini sangat meriah. Semua penduduk keluar dan bergotong-royong menyediakan pelbagai makanan. Sebelum ini ada juga kenduri diadakan sempena ibadah korban tetapi kami hanya makan roti dan gulai sahaja,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang jahit di Melaka selama dua tahun sebelum ini.

Rosli Amin, 27, berkata walaupun ibadah korban di kampung berkenaan dilaksanakan setiap tahun oleh pihak luar namun suasana tersebut cukup berlainan dengan kerjasama sukarelawan dan peserta program tersebut dengan penduduk.

“Kami semua sangat teruja dan gembira dengan kenduri rakyat yang diadakan pada hari ini. Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan. Selain meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha kami juga dapat berkenalan dengan masyarakat Islam dari Malaysia,” katanya yang bergantung pada kerja kampung untuk menyara keluarganya.

‘Silaturahim umat Islam’

Mashita Adam, 23, bekas pekerja kilang di Klang, Selangor, berkata dia dan penduduk kampungnya sentiasa mengalu-alukan kedatangan individu atau pihak yang ingin melakukan korban di kampung berkenaan kerana ia memberi kegembiraan kepada mereka.

Sementara itu, peserta program tersebut Noriyah Omar, 60, dari Bukit Rambai, Melaka berkata beliau dan keluarga terpanggil untuk melakukan ibadah berkenaan di Kemboja kerana ingin membantu penduduk Islam di kampung berkenaan.

“Ini adalah kali pertama kami melakukan korban di luar negara…sebelum ini sering buat di kampung. Saya berharap daging korban ini dapat membantu mereka yang layak,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments