Home Antarabangsa Lelaki letupkan bom, berbalas tembakan dengan polis di Indonesia

Lelaki letupkan bom, berbalas tembakan dengan polis di Indonesia

SHARE

BANDUNG: Polis menahan seorang suspek ekoran satu letupan di sebuah taman yang disusuli kejadian tembak-menembak dalam sebuah bangunan kerajaan di Bandung, hari ini.

Tiada orang awam yang cedera dalam kejadian itu yang polis kaitan dengan “rangkaian pengganas” dan suspek ditahan selepas insiden yang berlarutan kira-kira sejam itu.

Insiden itu bermula dengan letupan sebutir bom kecil di sebuah taman yang dilaporkan berpunca daripada bom diperbuat daripada sebuah periuk tekanan.

Suspek kemudiannya melarikan diri ke dalam sebuah bangunan kerajaan milik pihak berkuasa tempatan.

Visual televisyen menunjukkan polis berbalas tembakan dengan lelaki yang berada dalam bangunan itu dengan sebahagian bangunan berkenaan terbakar.

Ketua polis tempatan, Anton Charliyan berkata, tiada kecederaan dilaporkan kecuali suspek yang tidak diketahui identitinya cedera dalam kejadian berbalas tembakan itu.

Katanya, bangunan terbabit berjaya dikosongkan pihak berkuasa.

“Kami cuba berunding, tetapi suspek membakar (tempat itu). Dia dari sebuah rangkaian pengganas,” katanya kepada stesen TV tempatan, MetroTV.

Indonesia yang mempunyai penduduk beragama Islam teramai di dunia, bergelut dengan militan Islam dan menghadapi beberapa siri serangan sejak 15 tahun lalu, termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.

Usaha memerangi pengganas secara berterusan berjaya melemahkan rangkaian paling berbahaya, tetapi kemunculan IS memberi peluang kepada golongan radikal, di mana ratusan orang pergi ke Timur Tengah untuk menyertai IS.

Beberapa siri serangan dan rancangan gagal dikaitkan dengan penyokong IS di Indonesia sejak beberapa tahun ini.

Free Malaysia Today

Comments