Home Tempatan Lelaki hina Agong ditahan

Lelaki hina Agong ditahan

SHARE
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat. STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah dalam laman sosial Facebook (FB) miliknya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata suspek yang menggunakan akaun FB ‘Arif Senai’ itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam, pada jam 5 petang semalam.

“Terdahulu, suspek membuat laporan polis di Lanchang, Pahang mendakwa ada individu lain menggunakan namanya dalam akaun FB. Pihak kami kemudian meminta suspek datang ke IPD Shah Alam untuk memberi keterangan.

“Suspek berasal dari Johor, tetapi bekerja di Pahang. Telefon bimbit suspek juga dirampas untuk dianalisis. Siasatan juga mendapati suspek ada satu rekod kesalahan lampau berkaitan aktiviti perjudian.

“Suspek ditahan reman selama empat hari, mulai hari ini,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan pemilik FB ‘Aman Jebat’, atas kesalahan sama.

“Polis yakin akan dapat mengesan pemilik FB ‘Aman Jebat. Perbuatan menghina sebegini tidak boleh diterima dan polis akan pastikan individu terbabit akan menerima hukuman setimpal,” katanya.

Berita Harian

Comments