Home Antarabangsa Lelaki bantu Daesh hasilkan peluru berpandu ditangkap

Lelaki bantu Daesh hasilkan peluru berpandu ditangkap

SHARE

SYDNEY 28 Feb. – Polis antikeganasan Australia menahan seorang lelaki tidak dikenali selepas menyerbu sebuah rumah di Young, kira-kira 270 kilo­meter barat daya Sydney kerana didakwa membantu kumpulan pengganas Daesh.

Lelaki berkenaan dikatakan membangunkan teknologi peluru berpandu dan penahanannya itu adalah kali pertama seumpamanya di negara ini.

Berpuluh-puluh anggota polis termasuk skuad anjing dan beberapa pegawai lengkap dengan alat pengesan logam men­yertai serbuan berkenaan.

Penolong Pesuruhjaya antikeganasan Polis Persekutuan Australia, Ian McCartney berkata, polis akan mengenakan dakwaan kepada lelaki berusia 42 tahun itu kerana didapati menasihati Daesh tentang kaedah membangunkan keupayaan teknikal mengesan peluru berpandu dan membina teknologi senjata tersebut.

“Dia juga akan didakwa ke­rana menyelidik, mereka bentuk model sistem peluru berpandu bagi membantu usaha Daesh bagi membangunkan senjata berkenaan,” kata McCartney.

Tambah McCartney, lelaki kelahiran Australia itu yang pernah dilatih untuk menjadi seorang juruelektrik, dijangka bakal dihadapkan ke mahkamah minggu depan.

Walaupun pihak berkuasa tempatan sebelum ini telah menggagalkan beberapa plot sera­ngan keganasan, tetapi mereka masih belum membuat sebarang tangkapan terhadap individu yang menawarkan bantuan teknikal kepada Daesh.

Daesh sebelum ini dikatakan terlibat dalam beberapa sera­ngan di Sydney, antaranya pembunuhan seorang akauntan polis pada tahun 2015. – REUTERS

utusan online

Comments