Home Tempatan Lebih 70 negara dijemput sertai tilawah al-Quran

Lebih 70 negara dijemput sertai tilawah al-Quran

SHARE

KUALA LUMPUR – Lebih 70 negara dijemput menyertai majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59 yang akan berlangsung selama enam hari bermula Isnin ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setakat ini, 22  negara dijemput menyertai kategori Tilawah Al-Quran manakala 24 negara lagi bagi kategori Hafazan Al-Quran selain 24 negara dijemput secara pilihan terbuka untuk memilih satu daripada dua kategori berkenaan.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran, Malaysia akan diwakili oleh Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 iaitu Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Kuala Lumpur dan Normalina Alias dari Negeri Sembilan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kategori Hafazan Al-Quran pula, Malaysia akan diwakili johan lelaki dan wanita kategori 30 Juzuk Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 iaitu Mohamad Syazani Jemy dari Johor dan Nur Amalina Azharuddin dari Melaka.

Beliau berkata kesemua 38 peserta yang melepasi saringan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan 30 peserta bagi kategori Menghafaz Al-Quran akan melalui sesi saringan awal hari ini dan esok di hotel penginapan masing-masing.

Penilaian tilawah itu, yang bertemakan ‘Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’, akan dikendalikan oleh 15 hakim profesional dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.

Jamil Khir berkata johan Qari dan Qariah kategori Tilawah Al-Quran Antarabangsa akan menerima kepingan emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Bagi kategori hafazan, johan Qari dan Qariah bakal menerima kepingan emas sumbangan YaPEIM bernilai RM50,000, piala iringan dan wang tunai RM20,000.

Beliau turut mempelawa umat Islam menghadiri majlis itu, yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia  RTM1 (kategori Tilawah Al-Quran) dan saluran TV Al-Hijarah (kategori Menghafaz Al-Quran).

Sinar Online

Comments