Home Tempatan Lawatan buka lembaran baharu

Lawatan buka lembaran baharu

SHARE
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderamata daripada Fahad pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur.

Lawatan rasmi pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, ke Malaysia boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada lawatan Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada 1970 yang antara lain mengurniakan bantuan kewangan membolehkan Dewan Al Malik Faisal didirikan di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Petaling Jaya, selain menyalurkan bantuan aktiviti dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Ikuti temu ramah wartawan BH, SOPHIA AHMAD dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad Al-Rasheed.

SOALAN (S): Bagaimana anda mahu menggambarkan hubungan dua hala yang istimewa antara Arab Saudi dan Malaysia?

JAWAPAN (J): Hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi berterusan dalam semua aspek khususnya diplomatik, malah pemimpin Malaysia sendiri sentiasa berkunjung ke sana. Kedudukan Arab Saudi sebagai negara kepada dua tanah suci umat Islam menjadikan kami sentiasa mendapat tempat yang sangat istimewa untuk Malaysia. Lawatan Raja Salman diharap mampu membawa fasa baharu dalam persahabatan ini agar lebih kukuh dan akrab dalam semua peringkat.

S: Dari aspek ekonomi atau kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara, adakah anda melihat sebarang kenaikan signifikan berbanding jumlah perdagangan AS$2 bilion (RM9 bilion) pada tahun 2014? Apakah lawatan kali ini turut membabitkan kerjasama perdagangan yang baru?

J: Tidak dinafikan objektif utama lawatan Raja Salman ke Malaysia adalah untuk berbincang secara terperinci dan memperhalusi setiap aspek perihal kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara. Kerjasama perdagangan kedua-dua negara berjalan agak perlahan beberapa tahun kebelakangan berikutan situasi politik di beberapa negara Asia Barat.

Kelembapan ekonomi dunia kerana penurunan drastik harga minyak mentah turut mempengaruhi kerjasama ini walaupun dalam masa sama, Kerajaan Arab Saudi masih memperoleh pendapatan stabil hasil kontrak dan kuota jemaah haji.

Saya optimis lawatan kali ini akan menemui keberhasilan dalam aspek baru perdagangan untuk semua peringkat yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

S: Kepakaran tenaga mahir Malaysia semakin diiktiraf di negara anda, khususnya aspek pengangkutan. Boleh anda mengulas senario ini?

J: Malaysia dibarisi syarikat pembangun sistem pengangkutan yang sangat berkredibiliti dan cekap. Projek terbaru kerajaan anda iaitu pembangunan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) menjadi panduan dan contoh kepada banyak negara.

Di Arab Saudi, tenaga kerja mahir Malaysia antara golongan pekerja asing utama dan mendapat pendapatan lumayan, sesuai kemahiran di. Kerajaan kami juga sentiasa mengalu-alukan sebarang jalinan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara menerusi pelbagai sektor berpotensi.

S: Buat pertama kali, Malaysia adalah antara 20 negara menyertai latihan ketenteraan ‘North Thunder’ tahun lalu. Adakah ia satu penterjemahan terhadap usaha memperkasakan kerjasama ketenteraan antara kedua negara?

J: Sistem keselamatan dan pertahanan adalah tunjang sesebuah negara dan penting aspek ini diperkasakan. Suka atau tidak kita perlu menerima kenyataan ancaman boleh datang dalam pelbagai bentuk. ‘North Thunder’ membuka lembaran baru dunia ketenteraan Arab Saudi dan Asia Barat.

Ia diadakan dalam skala begitu besar membabitkan 20 negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Bahrain, Senagal, Sudan, Kuwait, Maldives, Maghribi, Pakistan, Chad, Tunisia, Comoros, Djibouti, Oman, Qatar, Malaysia, Mesir, Mauritania dan Mauritius.

S: Dalam aspek pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan, adakah anda melihat kehadiran pelancong Arab Saudi ke Malaysia semakin bertambah? Bagaimana pula dengan promosi dijalankan Kedutaan Malaysia di sana?

J: Dari aspek pelancongan, Malaysia dan Arab Saudi sebenarnya bertuah kerana dilatari persamaan iaitu status kedua-dua negara sebagai negara Islam. Ini menjadi faktor penarik limpahan pelancong Asia Barat ke negara ini termasuk Arab Saudi. Makanan halal mudah didapati malah hidangan dari negara Asia Barat menjadi antara makanan paling popular di Malaysia.

Kemudahan kesihatan yang optimum juga antara faktor penarik kerana prasarana disediakan menepati piawaian kesihatan dunia.

Dari sudut lain, percutian ke Madinah dan Makkah juga semakin digemari rakyat Malaysia. Ramai yang mengambil kesempatan berbulan madu sambil menunaikan ibadah umrah di Makkah malah ada yang melangsungkan pernikahan di tanah suci itu. Ini satu perkembangan menarik yang semakin berkembang luas.

Saya juga memuji pendekatan diambil Kedutaan Malaysia di Riyadh, Arab Saudi yang aktif mempromosikan nama dan jenama Malaysia di pasaran Arab Saudi.

Berita Harian

Comments