Home Tempatan Lawan hujah Zakir Naik, tak perlu beri label pengganas: Zainul Rijal

Lawan hujah Zakir Naik, tak perlu beri label pengganas: Zainul Rijal

SHARE

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Tokoh perbandingan agama tidak sepatutnya dilabelkan sebagai pengganas selagi mana mereka berhujah dengan fakta sebenar, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau mengakui, hal berkaitan perbandingan agama adalah antara isu sensitif yang perlu dibincangkan secara terbuka serta berstruktur dan berhati-hati.

“Penghujahan berdasarkan fakta yang terdapat dalam kitab-kitab agama adalah amat perlu dan perdebatan sebegini adalah sihat. Namun penghujahan atau perdebatan sebegini mestilah menghindarkan sebarang bentuk penistaan atau penghinaan.

“Bagi saya setakat memetik kitab-kitab agama lain yang bercanggah dengan amalan agama tersebut bukanlah suatu bentuk penistaan atau penghinaan tetapi adalah fakta.

“Jika ia tergelincir dari fakta sebenarnya ia boleh diperbetulkan oleh agamawan dari agama tersebut menerusi dialog,” katanya dalam tulisan terbaru di Sinar Harian, hari ini.

Tegas beliau, suatu dialog mahu debat berhubung isu berkenaan mestilah tidak berpaksikan kepada penghinaan terhadap agama lain sebaliknya menjadikan fakta sebagai teras perbincangan.

“Oleh hal yang demikian saya tidak nampak perlunya tokoh perbandingan agama dilabel sebagai terrorist atau pengganas yang menghina agama lain selagi parameter yang saya nyatakan di atas disempadani oleh beliau.

“Berhujahlah dengan beliau jika hujahan beliau tidak benar. Sanggahlah fakta yang diberikan beliau supaya awam dapat lebih mengetahui fakta sebenar,” katanya.

Pendapat beliau adalah sebagai mengulas isu pemfailan tuntutan mahkamah oleh sekumpulan aktivis liberal yang mahu menangkap dan mengusir pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Bagaimanapun, Zainul Rijal enggan mengulas lanjut isu itu kerana ia akan diputuskan di mahkamah ketika perbicaraan kelak dan beranggapan terlalu awal untuk beliau bercakap hal itu.

Comments