Home Tempatan Laporan Polis Terhadap Kebiadaban Zaid Ibrahim – Dewan Pemuda PAS

Laporan Polis Terhadap Kebiadaban Zaid Ibrahim – Dewan Pemuda PAS

SHARE

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) telah membuat laporan polis berhubung kenyataan ahli Parlimen DAP, Datuk Zaid Ibrahim terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui akaun twitter miliknya.

Delegasi DPPNS membuat laporan berikutan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid Ibrahim di akaun twitter beliau bertarikh 5 Disember 2017 yang berbunyi, “Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah baginda. Tiada yang terlepas apabila negara sedang terbakar.”

“Apabila pemerintah bermain politik; mereka mesti tahu akibatnya. Jangan anggap tiada harga untuk politik kepartian.”

Menurut DPPNS, kenyataan Zaid Ibrahim tersebut adalah suatu penghinaan dan cubaan membangkitkan perasaan tidak setia kepada Sultan Selangor, mencabar kedaulatan institusi Diraja Selangor, menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Selangor, mengguris perasaan rakyat Selangor, membangkitkan kemarahan umat Islam dan Majlis Raja-Raja yang boleh membawa kepada permusuhan dan menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.

Justeru itu, delegasi DPPNS memohon agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada Zaid Ibrahim di bawah peruntukan undang-undang Malaysia yang sedia ada.

Laporan polis tersebut dihadiri oleh Ustaz Syarhan Humaizi (Ketua Pemuda DPPNS), Saudara Damanhuri Dol (Setiausaha DPPNS), Saudara Khidhir (Exco DPPNS), Saudara Nor Hisham (Peguam DPPNS) dan wakil daripada Pemuda Gombak dan Shah Alam.

Comments