Home Tempatan Laporan polis isu hina Islam, Agong

Laporan polis isu hina Islam, Agong

SHARE

IPOH: Sebanyak 15 laporan polis dibuat hari ini berhubung tindakan seorang individu didakwa menghina agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong ketika sambutan Aidilfitri yang tersebar luas di Facebook.

Laporan dibuat Pemuda UMNO Perak dan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat selain 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (PAPIM), Gerakan Belia 4B Perak, Gerakan Belia 4B Ipoh Barat dan Suara Anak Muda (SAM) Perak.

Laporan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini, berdasarkan status seorang individu menggunakan nama akaun ‘Catt Ginger’ menyunting wajah Yang di-Pertuan Agong dengan gambar kurang sopan berserta ucapan Selamat Hari Raya.

EXCO Pemuda UMNO, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, berkata, laporan dibuat bagi mengecam tindakan individu itu menghina agama dan institusi Raja sebagai ketua agama Islam serta ketua negara.

“Jika tidak dibendung, ia dikhuatiri menyebabkan ketegangan kaum yang memudaratkan keharmonian negara. “Ia perkara serius dan dilihat sangat kurang ajar kerana Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam dan pemerintah tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berkenaan bersama sebahagian NGO terbabit Syamsul Baharin Putra yang juga Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat dan mewakili Pemuda UMNO Perak membuat laporan itu, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara berkenaan supaya pelaku dikenakan hukuman setimpal.

“Kami dimaklumkan pemilik akaun turut membuat laporan polis mendakwa akaunnya digodam, namun sesiapa saja boleh mengaku digodam.

“Kita tidak tahu siapa yang menggodam, jadi siasatan perlu dibuat.

“Kesalahan ini tidak boleh lagi hanya didenda dan permohonan maaf, sebaliknya wajar dihukum penjara sebagai pengajaran kepada pengguna media sosial lain dan tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Berita Harian

Comments