Home Tempatan Lapan hotel tambahan disediakan untuk jemaah haji di Madinah

Lapan hotel tambahan disediakan untuk jemaah haji di Madinah

SHARE

MADINAH 21 Julai – Sebanyak lapan hotel tambahan disediakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk menerima kedatangan jemaah haji ke Madinah berikutan penambahan kuota yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Pengarah Operasi Madinah 1438H, Mohd. Zawawi Bostam berkata, itu menjadikan semua jumlah hotel penginapan pada Musim Haji 1438 Hijrah di Madinah adalah sebanyak 11 hotel dengan jarak hotel itu ke Masjid Nabawi adalah antara 50 meter hingga 300 meter.Kesemua hotel ini bertaraf tiga hingga empat bintang dan boleh menampung sejumlah 50 peratus keseluruhan 30,200 jemaah haji bagi fasa satu.

“Fasa satu itu adalah kumpulan jemaah haji yang datang terus ke Madinah sebelum ke Mekah, manakala fasa kedua terimaan jemaah haji iaitu 50 peratus lagi adalah selepas mereka selesai mengerjakan ibadah haji,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Operasi Haji Madinah, di sini hari ini.

Jelasnya hotel ini dibahagikan kepada tiga zon berbanding tahun lalu cuma dua zon, di mana setiap zon disediakan pejabat perkhidmatan kebajikan jemaah haji, kaunter pengeluaran wang, pusat penghantaran bagasi ke tanah air, klinik, kaunseling jemaah.

“Dalam satu situasi, Tabung Haji di sini juga menyediakan kaunter bergerak bagi memudahkan jemaah mengeluarkan wang untuk keperluan masing-masing,” katanya.

Pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji meliputi pelbagai sektor ditempatkan di lokasi strategik dengan 205 orang petugas terlibat dalam urusan jemaah haji di Madinah ini dengan pembukaan rasmi pejabat operasi itu hari ini.

Dalam pada itu, jemaah haji dinasihatkan supaya tidak panik, sebaliknya bertenang dan sentiasa mengikut arahan petugas Tabung Hai yang sedia membantu sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz, Madinah secara berperingkat bermula 24 Julai ini.

“Mereka akan membantu jemaah haji dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Jelasnya, pastikan semua dokumen seperti pasport dan buku laporan kesihatan diletakkan dalam beg sandang.

“Jika berhadapan kesulitan semasa tiba di Madinah, janganlah panik dan ikutlah arahan petugas Tabung Haji,” katanya.

UTUSAN ONLINE

Comments