Home Tempatan Lantik ahli parlimen bukan Islam

Lantik ahli parlimen bukan Islam

SHARE

PKR tetap berpendirian Jawatankuasa Pemilihan Parlimen untuk mengkaji isu Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) perlu disertai ahli parlimen bukan Islam.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, ahli parlimen daripada PKR perlu dilantik menganggotai jawatankuasa tersebut supaya berpeluang menjalankan kajian ke atas isu Akta 355.

Buat masa ini, Akta 355 telah berada di peringkat usul persendirian dan menunggu untuk dikaji serta dibentangkan oleh kerajaan.

“PKR bukan membantah Pindaan Akta 355, tetapi berpendapat sekiranya hanya menambahkan hukuman, ia bukan langkah terbaik untuk mengatasi masalah.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan hukuman lebih berat, namun sebenarnya ia masih belum cukup. Sepatutnya isi kandungan dalam pindaan ini perlu menyeluruh lagi,” kata Tian Chua kepada Oriental Daily.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berpendapat, seluruh isi kandungan mengenai Pindaan Akta 355 perlu dipastikan turut difahami golongan bukan Islam.

Duta China didakwa campuri urusan negara

Duta China di Malaysia, Huang Huikang didakwa mencampuri urusan dalaman negara dengan mengkritik kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu ‘kedatangan pelabur China jejaskan periuk nasi rakyat tempatan’.

Menurut Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini belum ada mana-mana duta asing di Malaysia mengeluarkan kenyataan bersifat politik, bagaimanapun, apabila Duta China di Malaysia mendakwa rakyat Cina di negara ini tidak menyokong kenyataan Muhyiddin, beliau sebenarnya telah mencampuri urusan dalaman politik Malaysia.

Mahathir menegaskan, masalah sekarang bukanlah anti Cina kerana rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai, tetapi rakyat China adalah orang asing.

“Sekiranya hari ini yang masuk secara ramai-ramai ke negara kita adalah rakyat dari India, Eropah ataupun Afrika, kita pun akan rasa tidak senang hati dan menyalahkan kerajaan,” katanya dalam satu majlis di Putrajaya seperti dilaporkan China Press.

Kata Mahathir lagi, adalah menjadi perkara biasa untuk rakyat tidak setuju apabila ramai orang asing tinggal di Malaysia.

“Sebagai contoh, ramai orang Eropah membantah kemasukan pelarian Syria ke negara mereka sehingga ada pelarian ini mati kesejukan di kawasan salji,” katanya.

Rogol kaitan sosial media meningkat

Kejadian rogol berkaitan sosial media semakin meningkat sejak kebelakangan ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye.

Menurut Chee Lye, pihak polis menerima 183 laporan berkaitan kes rogol setelah mangsa terbabit berkenalan dengan suspek melalui sosial media sepanjang tahun lalu.

Selangor adalah negeri paling banyak menerima laporan iaitu 49 kes, diikuti Johor 38 kes dan Pulau Pinang, lima kes.

Katanya, telefon pintar kini semakin popular dan digunakan secara meluas oleh pelbagai peringkat golongan.

“Hari ini, pengguna telefon pintar boleh memperoleh segala maklumat dengan mudah dan cepat. Ia seperti sudah menjadi budaya hidup kita.

“Mengikut perangkaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, daripada 20 juta pengguna internet di seluruh negara, lebih kurang 18 juta daripadanya menggunakan Facebook dan pelbagai jenis sosial media lain untuk berkongsi maklumat.

“Manakala murid sekolah pula didapati melayari internet, sekurang-kurangnya sejam sehari yang mendedahkan mereka berkenalan dengan dengan orang tidak dikenali,” kata Ghee Lye seperti disiarkan Sin Chew Jit Poh.

Menurut beliau, kemudahan internet boleh digunakan untuk menambah ilmu pengetahuan dan aktiviti sosial, malangnya telah disalahgunakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan kes jenayah.

“Paling membimbangkan ialah golongan kanak-kanak yang begitu mudah terpengaruh dan tertipu melalui sosial media,” kata ketua polis negeri yang baru dilantik ini.

Sinar Online

Comments