Home Tempatan Lahirkan teknologis huffaz

Lahirkan teknologis huffaz

SHARE

SITIAWAN- ‘Saya bercita-cita menjadi seorang teknologis yang mampu menghafal al-Quran supaya kejayaan di dunia boleh seiring kejayaan di akhirat.”

Demikian kata seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Marin, Muhammad Amiruddin Ahman, 21, yang turut mengikuti pengajian huffaz di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute Of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) di sini.

Seramai 15 pelajar mengikuti program Teknologis Huffaz Marin iaitu satu program bertujuan melahirkan golongan ahli profesional dan teknokrat yang holistik dengan berkemahiran tinggi yang juga mahir bidang agama sebagai generasi Ulul Albab.

Muhammad Amiruddin berkata, program berkenaan telah diuar-uarkan ketika dia masih mengambil diploma di universiti berkenaan.

“Saya memang menunggu-nunggu program ini kerana mahu sama-sama menyertainya walaupun saya bukanlah dari latar belakang sekolah agama.

“Namun saya mahu mencabar diri untuk menghafaz al-Quran bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi seorang teknologis yang mampu menghafal al-Quran serta mengamalkan ajaran agama,”  katanya.

Katanya, bidang keagamaan juga menjadi keutamaannya kerana dia percaya jika seseorang mahu tampil hebat di dunia mereka perlu bergerak seiring dengan agama.

“Program ini amat baik kerana kita dapat mengejar ilmu dunia di samping tidak meninggalkan akhirat dan sepatutnya setiap pelajar harus mengikuti kelas pengajian huffaz ini.

“Saya beranggapan jika seseorang itu hanya mengejar kejayaan di dunia sahaja, kejayaan berkenaan tidak kukuh jika tidak diseiring dengan ilmu akhirat,” katanya yang kini telah menghafaz satu juzuk al-Quran hanya dalam tempoh sebulan ia diperkenalkan.

Tuan Muhammad Nurkholish Tuan Anuwa, 21, juga menyokong program berkenaan dan dia sendiri sudah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Saya sebelum ini sudah menghafal al-Quran sejak belajar di peringkat sekolah lagi dan apabila diperkenalkan program ini di UniKL saya terus tidak melepaskan peluang untuk meneruskan pembelajaran serta hafalannya.

“Bagi saya program ini tidak memberi bebanan kepada pelajar kerana kami telah diberi masa yang sesuai untuk sesi pembelajaran al-Quran dan juga kelas akademik biasa.

“Kelas al-Quran akan bermula pada jam 6 pagi hingga 8 pagi dan ada juga hingga 9 pagi setiap hari kecuali hari Rabu.

“Jadi selepas kelas agama ini, kami akan meneruskan pula dengan kelas akademik biasa,” katanya.

Katanya, rakan lain harus mengambil peluang berkenaan kerana ia disediakan secara percuma berbanding jika mahu mengambil kelas tahfiz di luar.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Sinar Online

Comments