Home Tempatan Lagi tokong menyerupai masjid di Klang

Lagi tokong menyerupai masjid di Klang

SHARE

KLANG 2 Feb. – Bukan satu, sebaliknya terdapat banyak lagi tokong menyerupai kubah masjid yang dibina oleh orang bukan Islam di sekitar daerah ini.

Hal itu menimbulkan persoalan mengapa Majlis Perbandaran Klang (MPK) selaku pihak berkuasa tempatan hanya melihat tanpa mengambil tindakan.

Pada masa yang sama, wujud kebimbangan lebih besar apakah begini kebebasan agama yang mahu dilihat MPK, jabatan agama dan kerajaan PKR Selangor.

Ini kerana, beberapa tokong tersebut dikesan kewujudannya hanya selepas 2008 iaitu setelah tumbangnya Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Taman Klang Utama misalnya, iaitu kira-kira lima kilometer (km) dari jarak tokong yang dirobohkan semalam mendapati terdapat dua lagi tokong menyerupai kubah masjid.

Tokong pertama dengan kubah berwarna hijau terletak di Jalan Sungai Keramat 12 manakala tokong kedua berkubah oren pula terletak di Jalan Sungai Puloh 13.

Menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sofia, 30, tokong di kawasan itu dibina sejak 2010 lagi dan dibina di tepi jalan utama kawasan perumahan.

“Saya pun pelik kenapa tokong ini dibina menyerupai masjid iaitu mempunyai kubah dan berwarna hijau dan oren.

“Ketika dibina tiada mana-mana pihak berkuasa yang datang walaupun kita tahu ia dibina atas tanah milik kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada Isnin lalu tular di media-media sosial apabila seorang pemilik kopitiam bertindak membina tokong menyerupai masjid di Jalan Makyong 5E/KU5, Bandar Bukit Raja.

Semalam, selepas isu itu me­nimbulkan kemarahan umat Islam, MPK bertindak merobohkan keseluruhan struktur tokong tersebut yang dibina atas rizab jalan

Utusan Malaysia

Comments