Home Tempatan Lagi mufti bantah Valet Doa, upah mahal doa jamin makbul?

Lagi mufti bantah Valet Doa, upah mahal doa jamin makbul?

SHARE
Muslim pilgrims pray around the holy Kaaba at the Grand Mosque ahead of the annual haj pilgrimage in Mecca September 22, 2015. REUTERS/Ahmad Masood TPX IMAGES OF THE DAY

SEREMBAN, 16 Feb — Mengenakan bayaran untuk khidmat berdoa di tanah suci Mekah tidak menjamin ia akan termakbul, kata mufti Negeri Sembilan.

“Kalau letak harga tinggi sekalipun, bukan menjamin doanya diterima,” kata Datuk Mohd Yusof Ahmad seperti dilapor Sinar Harian.

“Nampak sangat ini hanya bisnes. Jadi, tidak usah ikut dan jangan percaya.”

Beliau mengulas Valet Doa yang menawarkan khidmat mengambil upah berdoa sekurang-kurangnya RM500 di Mekah seperti diiklankan di Facebook.

Namun beliau menjelaskan seseorang boleh meminta orang lain berdoa bagi pihaknya dan memberi sumbangan kepada individu yang berdoa.

“Jangan pula orang yang diamanahkan untuk berdoa menetapkan amaun bayaran tertentu sebagai upah. Itu tidak boleh,” kata Mohd Yusof lagi.

Tegasnya, ayat 41 al-Baqarah yang menyebut “janganlah kamu menukarkan ayat-ayat Ku dengan harga yang rendah” melarang seseorang meniaga agama.

Pengusaha Valet Doa semalam mempertahankan khidmatnya, mengatakan ia tidak menyalahi Islam dan sama seperti mengambil upah mengerjakan haji.

“Kami bukan doa untuk kami tetapi pemohon yang membayar. Kami selesaikan amanah mereka. Jadi ada hargalah di situ atas usaha kami.

“Dalam Islam tidak salah. Kami bekerja. Sama macam upah haji. Tetapi orang tidak nampak,” kata Nasrin Harin kepada ProjekMMO.

“Saya sebenarnya bukanlah kenakan bayaran untuk berdoa. Saya caj berurusan dan kos saya ke sana [tanah suci].”

Menyedari khidmatnya mendapat kecaman, Nasrin berkata cemuhan itu disebabkan masyarakat kurang pengetahuan mengenainya.

 

The Malay Mail Online

Comments