Home Tempatan Kursus Pasca Kahwin Menangani Isu Perceraian Muda

Kursus Pasca Kahwin Menangani Isu Perceraian Muda

SHARE

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini dalam proses kajian mengadakan kursus pasca perkahwinan kepada pasangan-pasangan (beragama Islam) yang baharu mendirikan rumah tangga dalam menangani isu penceraian muda.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, penelitian tersebut akan dihantar ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk semakan.

Menurut beliau, pihaknya berhasrat mahu memperbaiki pangkalan data berkenaan pasangan-pasangan (beragama Islam) yang sudah berkahwin dan data tersebut perlu disimpan dalam sistem yang sempurna dan bukannya difailkan sahaja.

“Kita bersyukur dalam peringkat ini, kita dapati, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebenarnya telah menyediakan modul-modul pasca perkahwinan ini. Jadi, jika dilaksanakan, ianya mungkin tidak berdepan kesukaran.

“Dari situ, segala maklumat latar belakang termasuk status ekonomi dapat dikenal pasti dengan mudah,” katanya sewaktu ucapan perasmian “Klinik Bergerak Wacana Celik Undang-Undang bertemakan Hak-hak Keluarga Dalam Islam: Tahukah Anda?” yang bertempat di Auditorium C, Komtar, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan, Mantan Mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya serta barisan panel termasuk Peguam Yuslinov Ahmad dan Ratna Osman dari Sisters In Islam sebagai moderator.

Abdul Malik dalam pada itu menyasarkan klinik bergerak seperti ini dapat dianjurkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam memperkayakan lagi pengetahuan orang ramai tentang undang-undang kekeluargaan Islam.

Comments