Home Tempatan Kuota 27,900 jemaah haji Malaysia dikembalikan

Kuota 27,900 jemaah haji Malaysia dikembalikan

SHARE
KUALA LUMPUR 26 September 2015. (Slug Haji121) Hari kedua jemaah haji Malaysia melakukan ibadat melontar di kompleks Jamarat yang berjalan lancar. NSTP/Email.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017 berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh Bentan pada mesyuarat tahunan urusan haji dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jeddah, Rabu lalu.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya juga dimaklumkan kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram.

Katanya, projek berkenaan dalam usaha memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.

TH berkata, bagi pihak kerajaan Malaysia, Jamil Khir mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinantikan oleh seluruh umat Islam.

“Dalam ucapannya, Dr Mohammad Saleh Bentan memuji dan mengagumi TH dalam pengurusan jemaah haji yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus haji kepada jemaah haji Malaysia.

“Beliau juga memuji jemaah haji Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisiplin tinggi ketika di Tanah Suci.

“TH terus diiktiraf sebagai organisasi yang cemerlang dalam menyantuni Dhuyufurrahman dan beliau berharap negara lain turut mencontohi pengurusan haji oleh TH,” katanya.

Delegasi Malaysia turut disertai Duta Besar Malaysia Ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kenyataan itu turut menyebut TH sedang membuat persiapan bagi keperluan bakal jemaah dari segi penerbangan, penginapan, sajian dan pengangkutan serta khidmat perubatan di Tanah Suci untuk Musim Haji 1438H/2017M.

“Kos menunaikan haji Musim Haji 1438H meningkat kepada RM19,950 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu. Walaupun kos meningkat setiap tahun, TH masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang jemaah haji muasassah kali pertama sejak 2009.

“Subsidi Haji yang ditanggung TH dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji tahun ini, ” katanya.

Berita Harian

Comments