Home Tempatan Kumpulan benci Islam di AS bercambah pada 2016

Kumpulan benci Islam di AS bercambah pada 2016

SHARE

PETALING JAYA: Jumlah kumpulan pembenci di Amerika Syarikat meningkat 2 tahun berturut-turut pada 2016, dengan peningkatan jumlah kumpulan yang menyebarkan mesej anti-Islam, menurut kumpulan hak asasi manusia, lapor NBC News.

Dalam bancian kumpulan pembenci dan pertubuhan pelampau, Southern Poverty Law Centre (SPLC) berkata keseluruhan jumlah kumpulan pembenci bercambah dari 892 pada 2015 kepada 917 pada 2016.

Jumlah kumpulan anti-Islam pula bertambah hampir 3 kali ganda – dari 34 pada 2015 kepada 101 tahun lepas.

SPLC berkata nada ceramah presiden memperkasakan sektor tertentu gerakan pembenci itu.

Donald Trump meraih sokongan tokoh pelampau orang putih David Duke, bekas pemimpin Ku Klux Klan. Trump menuduh pendatang Mexico “perogol” dan “penjenayah” dan mengeluarkan arahan kontroversi menghalang warganegara 7 negara majoriti Islam memasuki AS untuk tempoh sementara.

“Tidak boleh disangkal pertubuhan yang bersama kempen Trump menyaksikan jumlah keahlian bertambah, semakin terkenal dan pembaca atas talian bertambah,” kata Heidi Beirich, pengarah projek perisikan SPLC.

Beirich beritahu NBC News jumlah kumpulan pembenci bertambah dalam 2 tahun lepas sejak menjunam ke paras terendah sejak 11 tahun lepas pada 2014.

Untuk mengemaskini bancian, SPLC mengerakkan orang untuk memantau pelbagai kumpulan pembenci untuk melihat sama ada mereka membangun atau hancur.

“Kumpulan pembenci menjadi kurang tersusun, terpencar dan berasaskan web,” tambahnya. “Menyaksikan pertubuhan ini mempunyai kaitan dengan Trump menunjukkan sesuatu, terutamanya kerana mereka berada di dunia nyata. Senarai kami menyenaraikan aktiviti di dunia nyata, bukan aktiviti web.”

SPLC menemubual 10,000 pendidik selepas pilihan raya. Lapan puluh peratus berkata ketakutan dan keresahan makin dirasai dalam kalangan pelajar selepas pilihan raya, terutamanya dalam kalangan pelajar imigran, Islam atau berkulit hitam.

Bancian tahunan itu, yang diterbitkan pada Rabu, mendapati kebanyakan kumpulan yang diciptakan untuk membawa mesej kebencian pada 2016 secara khusus anti-Islam.

SPLC mendakwa retorik Trump semasa kempen mengalakkan kewujudan pertubuhan anti-Islam dan mengesahkan mereka. Beliau berikrar untuk mewujudkan pangkalan data menjejaki orang Islam di AS dan secara salah mendakwa ribuan orang Islam AS meraikan serangan pengganas 11 September 2001.

Menurut tinjauan Pew Research Center pada Rabu, hampir sepertiga warga AS tidak merasai ikatan setia kawan terhadap orang Islam.

Ibrahim Hooper, pengarah komunikasi Majlis Hubungan Amerika-Islam berkata larangan imigresen Trump itu – yang digantung atas arahan mahkamah – mencadangkan “ideologi pelampau anti-Islam yang terpinggir sebelum ini bergerak ke Rumah Putih.”

Free Malaysia Today

Comments