Home Tempatan Kukuhkan pegangan iman untuk elak rasuah, salah guna: Khutbah Jumaat

Kukuhkan pegangan iman untuk elak rasuah, salah guna: Khutbah Jumaat

SHARE

BANGI, 25 Jamadialkhir 1438H, Jumaat – Umat Islam khususnya mereka yang diberi amanah menjaga keselamatan dan kemaslahatan negara diseru untuk menghayati nilai-nilai integriti bagi meninggikan kualiti dalam semua aspek kehidupan.

Menurut Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, adalah amat penting mereka ini menzahirkan sifat-sifat integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh disiplin kerana ia merupakan tuntutan agama.

“Penghayatan nilai integriti akan melonjak kualiti hidup seseorang itu kepada keutuhan akhlak, kewibawaan, dan ketakwaan manusia itu sendiri. Islam mengajar kita bagaimana untuk menghayati akhlak yang mulia dan terpuji yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah SAW.

“Sebaliknya, jika ia tidak dihayati dan diamalkan, nescaya akan berleluasanya kemungkaran dan jenayah sehingga boleh menyebabkan kacau bilau dan huru hara sesebuah negara,” kata khutbah itu.

Bersempena dengan Peringatan Hari Polis ke-210, khutbah turut mengambil kesempatan bagi mengingatkan salah satu aset penting negara iaitu anggota polis untuk menyedari bahawa tugas mereka tidak hanya mencakupi aspek keselamatan dan keamanan dari segi fizikal sahaja.

Bahkan, turut merangkumi aspek yang lebih luas daripada itu seperti yang digariskan dalam lima matlamat Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta benda.

“Oleh yang demikian, pada hemat mimbar setiap kita yang diberi tanggungjawab seperti anggota polis perlu sentiasa berusaha memastikan kesemua matlamat Syarak ini dapat dicapai.

“Jika penghayatan nilai-nilai integriti ini ditinggalkan, ia akan memberi kesan negatif yang cukup besar dalam kehidupan individu dan masyarakat keseluruhannya.

“Antaranya pertama, berlaku penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan gejala rasuah. Kedua, mengancam keselamatan negara. Dan ketiga, hilang keredhaan Allah SWT dan keberkatan rezeki,” kata khutbah.

Justeru, khutbah mengingatkan umat Islam supaya memantapkan pegangan iman dan menguatkan ketinggian sahsiah bagi memastikan terus istiqamah dengan sifat-sifat mahmudah dan integriti dalam diri.

“Umat Islam hendaklah menekankan aspek asuhan dan pendidikan yang mempunyai nilai-nilai murni dan berintegriti bermula dari peringkat awal usia lagi.

“Tidak kurang juga, penguatkuasaan undang-undang perlu terus dipergiatkan supaya masyarakat sedar akan kemudaratan pengabaian nilai-nilai integriti yang boleh mengancam keselamatan negara,” kata khutbah itu.

Comments