Home Tempatan Kuasai bahasa Melayu syarat patriotisme

Kuasai bahasa Melayu syarat patriotisme

Yang Dipertua, Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

SHARE
Sumber Gambar: Utusan.com.my

Masyarakat perlu dididik mulai sekarang kecuali bagi perkhidmatan yang amat mendesak bahawa semua bakal penjawat awam perlu lebih awal menguasai bahasa Melayu. Ini kerana mereka adalah rakyat negara ini dan bahasa Melayu bukanlah perkara asing dalam kehidupan mereka.

Bahasa Melayu adalah bahasa teras dan menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai alat untuk penyatuan ummah dan perpaduan rakyat di negara ini. Memartabatkan bahasa Melayu wajar menjadi agenda penting oleh pembuat dan pelaksana dasar selari dengan keperluan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) 1963/67.

Bahasa jiwa bangsa membawa maksud bahawa bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Penggunaan dan penguasaan bahasa sebagai alat komunikasi dan perpaduan untuk saling memahami antara satu sama lain adalah melambangkan jati diri sesuatu bangsa dan asas untuk membentuk kesatuan bangsa dan ummah.

Profesional negara perlu cemerlang dalam bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi. Sekiranya mereka tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Melayu, masalah komunikasi dalam pelbagai aspek secara efektif mulai daripada peringkat bawah hingga atas, akan terganggu dan memberi impak merugikan secara berpanjangan kepada rakyat dan negara.

Hanya pegawai yang mencapai tahap kelulusan taraf kredit atau lebih tinggi dalam peperiksaan serta menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang cemerlang sahaja layak untuk dipertimbangkan dalam perkhidmatan kerajaan. Selain itu, mereka yang menunjukkan kebolehan luar biasa dalam penguasaan bahasa Melayu layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat lebih tinggi dan diberi tanggungjawab lebih mencabar dalam perkhidmatan kerajaan.

Bahasa Melayu di peringkat SPM adalah penanda aras penguasaan seseorang dalam aspek komunikasi dan penulisan. Sekiranya mereka tidak berjaya dalam SPM, mereka sukar berurusan dengan masyarakat ketika berkhidmat kelak. Kelonggaran syarat itu ibarat meremehkan dan menghina bahasa Melayu dan semua pihak perlu memastikan bahasa kebangsaan terus dipertahankan dan dimartabatkan.

Selain itu, seseorang rakyat Malaysia tidak boleh dianggap cemerlang dalam mana-mana pencapaian termasuk peperiksaan dengan memperoleh kecemerlangan dalam subjek lain tetapi tidak dalam Bahasa Melayu walaupun diambil sebagai satu mata pelajaran secara berasingan.

Pertahan bahasa kebangsaan

Adalah amat diharapkan pada masa depan, mereka yang tidak mempunyai sijil SPM dan tidak lulus Bahasa Melayu tidak boleh diterima langsung untuk berkhidmat dalam kerajaan termasuk secara kontrak dan ia perlu dikaji semula. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan perlu dipertahankan. Semua rakyat Malaysia perlu terus memartabatkan dan memelihara bahasa Melayu yang diasaskan sejak dahulu lagi. Raja-Raja Melayu sejak Mesyuarat Durbar pada 1903 membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu menetapkan tujuh wasiat, satu daripadanya menyentuh berkaitan bahasa iaitu ‘Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu’.

Kita sedar penjawat awam adalah barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat. Jika mana-mana pegawai gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu bagaimana mungkin mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik, berkesan dan jayanya kepada rakyat dan negara. Sebagai contoh, dalam keadaan tertentu, salah faham komunikasi antara penjawat awam dan orang ramai boleh membawa kepada musibah dan kematian. Lebih besar daripada itu, maruah sesuatu bangsa itu terletak pada bahasanya.

Dalam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita mahu melihat masyarakat kelas satu, di negara kelas pertama. Dalam kemajuan infrastruktur dan pelbagai kemudahan dunia kelas pertama, kita mahu negara ini dihuni oleh masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa jambatan penyatuan ummah dalam pelbagai kumpulan masyarakat di samping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Justeru, bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara tidak wajar dijadikan sekadar hiasan. Tidak ada maknanya juga, jika hanya termaktub satu perenggan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, bahasa Melayu itu perlu disuntik dengan nilai, diberi nyawa dan diberi tempat yang selayaknya.

Setiap warganegara Malaysia yang menetap dan mengaku dirinya rakyat Malaysia mesti menguasai dan boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu. Seseorang yang mengaku dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatan sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi dipijak. Jangan kerana segelintir permintaan dan tuntutan, maka kita korbankan bahasa.

Sememangnya kita wajar kuasai bahasa lain termasuk bahasa Inggeris kerana ia diperlukan untuk berhubung dengan dunia luar. Sebagai golongan profesional, ada dalam kalangan kita didedahkan kepada bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa ketika menimba ilmu tetapi tidak hilang ciri-ciri adat bangsa yang diwarisi serta terus menyanjung bahasa Melayu.

Elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan bahasa penyatuan perlu ada dalam setiap sanubari rakyat. Bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan menjadi penyatu kepada rakyat yang berbilang agama, kaum dan budaya di negara tercinta, Malaysia.

Berita Harian

 

Comments