Home Tempatan Kuala Lumpur: Masalah Sosial dan Urbanisasi

Kuala Lumpur: Masalah Sosial dan Urbanisasi

SHARE

Nama Kuala Lumpur tidak dapat dipisahkan dengan perkataan urbanisasi. Urbanisasi menurut Kamus Dewan bermaksud proses, usaha, dan sebagainya menjadikan sesuatu keadaan, kawasan dan sebagainya bersifat bandar[1]. Hasil dari proses pembangunan yang pesat ini, Kuala Lumpur menjadi lubuk pekerjaan dan ramai yang berhijrah ke kota ini untuk mendapatkan pekerjaan demi meningkatkan taraf hidup. Selain itu, ibu kota Malaysia ini juga menjadi tumpuan utama para pelancong asing. Setiap yang berlaku terkandung kebaikan dan keburukan. Atas nama urbanisasi, Kuala Lumpur kini merupakan kota raya yang terlalu sesak dan padat sehingga menenggelamkan kecantikan semulajadinya.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi di Kuala Lumpur pada tahun 2016 adalah seramai lebih kurang 1.79 juta[2].  Tidak hairanlah kita terasa dengan kepadatan manusia di situ apabila datang ke Kuala Lumpur terutama di kawasan tumpuan seperti Chow Kit, KLCC, dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Walaupun urbanisasi itu bagus, tetapi kesan buruknya perlu diberi perhatian juga.

Akibat daripada proses urbanisasi yang pesat, kejadian jenayah semakin meningkat. Perlakuan jenayah seperti aktiviti kongsi gelap, pelacuran, mencuri, menyamun, meragut, pecah rumah, menculik dan penyeludupan manusia semakin menjadi-jadi di Kuala Lumpur.

Masalah sosial pertama, gengsterisme ataupun kongsi gelap. Aktiviti kongsi gelap semakin berleluasa di Kuala Lumpur. Kumpulan ini semakin berani bertindak secara terang-terangan dengan adanya pengaruh “ketua besar” yang berdiri di belakang mereka. Bercakap mengenai kongsi gelap, fikiran tidak akan lari dengan penglibatan kaum utama di Malaysia iaitu kaum Melayu, India dan Cina.

Sejarah penubuhan kongsi gelap Cina di Malaya bermula selepas kebangkitan aktiviti kongsi gelap Cina di Lukut pada tahun 1834 apabila berlaku pembunuhan di lombong-lombong bijih timah. Kemudian, disebabkan kumpulan ini tidak ramai dan tidak mempunyai autoriti kerana majoritinya berasal daripada golongan petani, mereka membuat keputusan untuk bersatu. Kumpulan kongsi gelap pada waktu itu terbahagi kepada dua; Hakka dan Ghi Hin. Cara disiplin yang ganas merupakan kesan daripada kesetiaan yang diperintahkan dalam setiap kumpulan[3].

Masalah sosial di tangga kedua adalah pelacuran. Kegiatan pelacuran di Malaysia meningkat seiring dengan peningkatan ekonomi negara. Apabila undang-undang negara berkaitan dengan sektor ini dikuatkuasakan secara ketat, mereka berselindung di sebalik kelab malam, pub dan lounge karaoke. Walaupun serbuan telah dilakukan berulang kali, namun mereka masih tidak serik.

Selain itu, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga merupakan salah satu masalah yang semakin serius. Mereka masuk ke Malaysia untuk mencari kerja terutamanya di Kuala Lumpur menggunakan jalan laut. Kebanjiran PATI menebabkan peningkatan indeks jenayah di Malaysia. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengumumkan bahawa seramai 14,809 daripada 37,446 banduan di Malaysia merupakan pendatang asing yang kebanyakannya terdiri daripada PATI[4].

Akhir kata, masalah sosial yang berlaku di Malaysia disebabkan faktor urbanisasi amat membimbangkan. Walaupun urbanisasi itu bagus, tetapi urbanisasi yang didatangkan bersama pelan strategik bagi mengatasi masalah yang berlaku itu lebih baik. Kerajaan bersama-sama rakyat perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara seperti di atas daripada bertambah buruk. Ingatlah, muafakat membawa berkat. Tanggungjawab tidak terletak di bahu sebelah pihak sahaja. Bersama-sama kita mencari jalan penyelesaian untuk masalah yang timbul akibat daripada proses urbanisasi di Kuala Lumpur ini.

Rujukan

1 http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=urbanisasi

2 http://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cone&menu_id=bjRlZXVGdnBueDJKY1BPWEFPRlhIdz09

3 https://www.jstor.org/stable/41502993?seq=8#page_scan_tab_contents

4 http://jurnalkanun.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2014/11/2-Permasalahan-PATI.pdf

Comments