Home Pendapat Krisis Keyakinan Bahasa Melayu

Krisis Keyakinan Bahasa Melayu

SHARE

BAHASA jiwa bangsa. Itu ungkapan yang sentiasa digunakan setiap kali berbicara mengenai bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara ini.

Sejak merdeka lagi, kerajaan telah merangka pelbagai program bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa ­Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 1956 bagi tujuan memperkasakan bahasa Melayu. Tidak setakat itu sahaja, Dasar Bahasa Kebangsaan turut dirangka bagi memelihara bahasa Melayu.

Pada Oktober setiap tahun pula, DBP akan ‘meraikan’ Bulan Bahasa Kebangsaan dengan pelbagai program diatur untuk ­menyemarakkan sambutannya.

Dalam erti kata lain, banyak langkah telah diambil dalam ­usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud kebimbangan dalam kalangan pakar dan pencinta bahasa terhadap masa depan bahasa Melayu.

Kebimbangan itu bertitik-tolak daripada perkembangan semasa yang memperlihatkan peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian, majlis rasmi, ter­masuklah di papan-papan iklan.

Bukan sahaja pakar bahasa, kebimbangan itu turut dizahirkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang pada Oktober tahun lalu bertitah supaya usaha memartabatkan bahasa Melayu terus diperkasakan.

Pada pandangan bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan, isu peminggiran bahasa Melayu yang berlaku pada hari ini tercetus berikutan krisis keyakinan dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda terhadap penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Lebih mengecewakan, menurut Awang, krisis keyakinan itu turut melibatkan sebahagian pelaksana dasar negara, terutamanya berkaitan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Beliau menegaskan bahawa sepatutnya dasar yang telah diputuskan melalui Perlembagaan, akta serta peraturan diperkasakan secara berterusan dan bukannya mengurangkan peranan bahasa Melayu.

“Dalam tempoh tertentu sesudah mencapai kemerdekaan, negara kita telah membangun dengan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasinya, seperti digunakan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran.

“Jadi, tiada sebab kita berundur ke belakang, sebaliknya wajar meningkatkan dan meluaskan peranan bahasa Melayu dalam sektor-sektor yang belum mantap serta meluas penggunaannya seperti undang-undang dan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Awang yang juga penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu di Universiti Kajian Ehwal Luar Beijing (BFSU), China menjelaskan bahawa pengalaman negara maju dalam pemerkasaan bahasa negara harus menjadi teladan kepada kita.

“China misalnya, tetap ­mengutamakan bahasa kebangsaannya iaitu Mandarin walaupun penguasaan bahasa asing diberi penekanan.

“Dalam hubungan diplomatik, mereka tetap mengutamakan bahasa Mandarin. Dalam bidang media, mereka mempunyai media sosial utama yang berwahanakan bahasa Mandarin, begitu juga dalam urusan pentadbiran semua peringkat,” jelas beliau.

Seorang lagi bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz turut senada dengan Awang apabila menyelar pemikiran pihak tertentu kononnya penggunaan bahasa Melayu adalah bersifat ketinggalan dan lapuk kerana dunia hari ini memberi keutamaan kepada penguasaan bahasa Inggeris.

Beliau menempelak pihak-pihak terbabit apabila menjelaskan bahawa waima negara-negara maju di Eropah memberi keutamaan kepada bahasa masing-masing.

“Di Eropah, rakyatnya sedar bahawa bahasa itu identiti bangsa mereka. Jadi mereka angkat, tumpu penggunaan bahasa negara sendiri dan bahasa Inggeris hanyalah bahasa kedua yang menjadi sokongan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia, orang Melayu sendiri tidak guna bahasa Melayu, di mana identiti kita?” ujar beliau.

Menyedari tindakan drastik perlu diambil bagi mengelakkan bahasa Melayu terus tersisih, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tampil menganjurkan Wacana Bahasa Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu baru-baru ini.

Wacana tersebut yang antara lainnya menampilkan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim telah mengemukakan resolusi yang menggariskan 18 perkara bagi memartabatkan bahasa Melayu. Penganjur berjanji akan membawa resolusi tersebut kepada Majlis Raja-Raja.

Adalah menjadi harapan supaya resolusi tersebut mendapat perhatian raja-raja Melayu dengan satu ketetapan dapat diambil bagi memastikan krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu beberapa tahun kebelakangan ini dapat diatasi.

Semoga resolusi Wacana Bahasa Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu bukan sekadar tinggal di atas kertas untuk tatapan umum sahaja tetapi berhasil mengembalikan ‘kedaulatan’ bahasa Melayu di kedudukan yang sepatutnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

utusan online

Comments