Home Antarabangsa Krisis kemanusiaan terbesar dalam 70 tahun

Krisis kemanusiaan terbesar dalam 70 tahun

SHARE
Sumber gambar: Independent

NAIROBI: Krisis kemanusiaan terbesar dunia dalam tempoh 70 tahun diisytihar di tiga negara Afrika yang kini di ambang kebuluran, ketika Presiden Donald Trump bercadang memotong sejumlah besar bantuan asing.

Jika pemotongan besar itu diluluskan Kongres dan Amerika Syarikat (AS) tidak memberi sumbangan kepada krisis terkini Afrika, pakar memberi amaran, bencana kemarau dan kebuluran meningkat di benua itu mungkin berdepan kesan meluas termasuk gelombang baharu pendatang ke Eropah dan kemungkinan lebih banyak sokongan kepada militan Daesh.

Krisis kebuluran ditambah konflik di Nigeria, Somalia dan Sudan Selatan mencapai kemuncaknya apabila masalah kebuluran melanda ketiga-tiga negara terbabit hampir serentak.

Hampir 16 juta orang di tiga negara itu berisiko menemui ajal dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Kebuluran sudah diisytiharkan di dua daerah di Sudan Selatan dan satu juta penduduk di sana kini di ambang maut akibat kekurangan makanan, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Somalia mengisytiharkan perintah darurat akibat kemarau dan 2.9 juta penduduknya berdepan krisis makanan yang boleh bertukar kepada kebuluran, menurut PBB.

Di timur laut Nigeria, masalah kekurangan zat amat meluas di kawasan terjejas angkara keganasan kumpulan Boko Haram.

“Kami berdepan krisis kemanusiaan terbesar sejak penubuhan PBB,” kata Stephen O’Brien, ketua kemanusiaan PBB kepada Majlis Keselamatan selepas kunjungannya ke Somalia dan Sudan Selatan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata akhir Februari lalu, sekurang-kurangnya AS$4.4 bilion (RM19.42 bilion) diperlukan menjelang akhir bulan ini bagi mengelak ‘malapetaka’ kebuluran di Nigeria, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman.

Berita Harian

Comments