Home Pendapat Krisis Diplomatik Qatar: Impak Geopolitik Dunia & Malaysia

Krisis Diplomatik Qatar: Impak Geopolitik Dunia & Malaysia

SHARE

Pergolakan terbaharu melibatkan negara-negara yang menganggotai Majlis Kerjasama Teluk (GCC) memberikan kebimbangan terhadap kesan geopolitik dan ekonomi semasa. Malaysia juga tidak terkecuali memantau situasi di Asia Barat dengan lebih dekat. Situasi agak mencemaskan apabila lebih 5,000 rakyat Malaysia mungkin terkandas ekoran penutupan jalan udara, darat dan laut berikutan krisis diplomatik yang melanda Qatar.

Pada 5 Jun 2017, bermula dengan Bahrain, diikuti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen bertindak memutuskan hubungan dengan Qatar. Tiga negara bukan anggota GCC iaitu Mesir, Maldives dan Libya turut mengambil tindakan sama. OIC turut melahirkan sokongan dan menyeru Qatar agar kembali menghormati perlembagaan GCC, antara lain melarang keras campur tangan negara anggota dalam hal ehwal dalaman negara anggota lain.

Mengulas tentang perkembangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Malaysia akan memantau perkembangan di Asia Barat daripada semasa ke semasa. Sebagai negara anggota OIC, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan semua anggota GCC termasuklah Qatar.

Dengan itu, krisis ini tentunya memberikan impak jika mengambil kira kepentingan politik dan ekonomi di negara-negara ini. Al Jazeera melaporkan Menteri Luar Qatar juga tidak pasti adakah terdapat perkara tersirat dalam isu boikot selain daripada propaganda media, lantas menyangkal tuduhan oleh negara-negara berkenaan.

Punca pergolakan

Pergolakan di kalangan negara GCC bukanlah perkara baru, malah ia dapat dikesan bermula seawal 1991 lagi. Pada tahun 2014, UAE, Bahrain dan Saudi memutuskan hubungan dengan Qatar kerana menyokong Ikhwan Muslimin. Ia mengambil masa lapan bulan untuk kembali memulihkan hubungan, seusai krisis ini diselesaikan dengan baik, negara-negara ini kembali menghantar duta masing-masing ke Qatar.

Pada kali ini juga, ia berkaitan tuduhan penglibatan Qatar yang menjalin hubungan dengan Ikhwan Muslimin, malah membiayai dan menyokong aktiviti ISIS, al-Qaeda dan Hamas di Semenanjung Gaza. Hamas telah dilabel sebagai kumpulan pengganas kerana penglibatan di Libya, Syria dan Yemen.

Melihat kepada kronologi krisis anggota-anggota GCC, penganalisis memberikan reaksi yang berbeza terhadap isu hubungan Qatar dan GCC. Adakah ianya berkaitan tuduhan sokongan Qatar kepada aktiviti pengganas atau ianya sebagai reaksi ancaman kedudukan ekonomi Qatar yang semakin kuat?

Qatar dan dasar luar

Sebagai anggota OPEC, Qatar juga merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar gas cecair asli (LNG). Eksport LNG dan Petroleum menyumbangkan 70 peratus kepada kekayaan negara, malah Qatar mempunyai pendapatan per kapita yang kedua tertinggi di dunia iaitu USD130,000 dan aset negara bernilai USD200 billion.

Kedudukan ini memberikan Qatar ‘kemerdekaan’ daripada dibelenggu dasar-dasar GCC yang tidak dipersetujui oleh elit pentadbiran Qatar yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Sheikh Tamim Hamad al-Thani. Kekuatan ini juga membolehkan Qatar keluar daripada bayang-bayang GCC dan membentuk dasar luarnya yang tersendiri, termasuklah menjalinkan hubungan dengan musuh Arab Saudi, iaitu Iran. Telaga minyak dan gas pesisir luar milik Qatar, North Field dikongsi bersama dengan Iran. Malah Qatar juga telah membeli sebahagian pemilikan dalam syarikat minyak dan gas milik Rusia, Rosneft bernilai USD2.7 billion.

Secara geopolitiknya, Amerika Syarikat amat bergantung kepada keberkesanan GCC demi memelihara kestabilan serantau, malah menempatkan hampir 10,000 tenteranya di pengkalan tentera al-Udeid di Qatar. Sudah diketahui umum bahawa Arab Saudi merupakan sekutu kuat AS dan baru-baru ini telah memeterai perjanjian persenjataan bernilai USD110 billion dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

AS agak terhimpit dengan senario ini, walaupun Donald Trump menyelar Qatar di dalam akaun Twitternya berikutan perkaitan dan sokongan terhadap aktiviti pengganas, tetapi penganalisis menjangkakan sebarang reaksi negatif terhadap Qatar akan mendapat bantahan daripada Pentagon (Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat).

Impak kepada Malaysia

Malaysia dan Qatar menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1974 di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Selain politik, kedua-dua buah negara ini telah mengadakan kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuklah bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, perbankan dan kewangan.

Pada Februari yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan rasmi ke Qatar bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala dan membuka laluan kerjasama bagi syarikat-syarikat dari Malaysia terlibat dalam projek infrastruktur seperti Bandar Lusai, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan prospek penyertaan syarikat Malaysia dalam projek pengangkutan di Qatar.

Dalam konteks ini dan kedudukan Malaysia sebagai antara negara Islam yang dihormati, pergolakan yang berlaku sudah tentu memberikan impak secara langsung dan tidak langsung. Impak ini dapat dilihat daripada tiga perspektif iaitu kesannya terhadap perdagangan, pertahanan dan minyak.

Perdagangan

Daripada segi perdagangan, Qatar merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia daripada kalangan negara-negara anggota GCC selepas UAE dan Saudi. Pada tahun 2014, nilai eksport Malaysia dan import dari Qatar adalah masing-masing berjumlah RM1.5 billion dan RM3.6 billion.

Barangan elektrik dan elektronik adalah penyumbang utama eksport negara (RM530 juta) diikuti dengan besi dan keluli (RM400 juta), mesin dan jentera kelengkapan (RM85 juta), pembuatan logam (RM74 juta) dan produk kayu (RM56 juta).

Sementara itu, lebih 90 peratus import daripada Qatar disumbang oleh industri minyak dan gas, dengan import minyak mentah meliputi 60 peratus daripada jumlah import dan bernilai RM2.2 billion. Malaysia sememangnya pasaran penting bagi Qatar.

Pada 2011, Malaysia telah memeterai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi, Perdagangan, Pelaburan dan Kerjasama Teknikal (FAECITC) dengan GCC untuk memberi laluan kepada pembentukan perjanjian perjanjian perdagangan bebas (FTA). Sebelum ini, FTA terpaksa ditangguhkan berikutan isu-isu yang melanda rantau Asia Barat seperti Kebangkitan Dunia Arab (Arab Spring), Krisis Kewangan Global dan kejatuhan harga minyak. Sekiranya krisis Qatar dan GCC berlarutan, proses pemeteraian FTA antara Malaysia dan GCC akan menjadi lebih buntu.

Ketidakstabilan Harga Minyak

Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober tahun lalu berdasarkan harga minyak pada paras USD45 setong, perlu diubahsuai sekiranya krisis ini berlarutan dan menyebabkan kenaikan harga minyak melebihi paras USD50 setong.

Persidangan negara anggota OPEC dan bukan OPEC pada Mei 2017 lalu telah menetapkan pemotongan pengeluaran secara kolektif pada 1.8 juta tong sehari sehingga Mac 2018 dengan harga di antara USD50 ke USD53 setong. Buat masa ini, harga minyak adalah di antara USD46 ke USD49 setong.

Sebagai negara pengeluar ke-10 terbesar dalam OPEC, hubungan Qatar dan GCC pada masa ini boleh menjejaskan sasaran tersebut sekiranya Qatar mengambil pendirian berbeza. Qatar mungkin membalas dengan menyekat pengeluaran minyak, seterusnya memberi impak melalui kenaikan harga minyak sedunia. Buat masa ini, Qatar masih menyatakan komitmen untuk menurut perjanjian tersebut.

Ekoran sekatan ke atas kapal-kapal tangki yang mempunyai hubung kait dengan Qatar oleh UAE, syarikat-syarikat perkapalan terpaksa mencari lokasi baru untuk pengisian bahan api bagi kapal-kapal mereka dan ini akan meningkatkan kos operasi. Sebelum ini kapal-kapal dari Qatar akan membuat pengisian bahan api di pelabuhan Fujairah, UAE yang merupakan antara pelabuhan terpenting di dunia dalam pasaran tenaga global.

Qatar yang juga pengekspot terbesar LNG dunia sedang menghantar kumpulan pertama kapal-kapal tangki LNG ke lokasi sejauh Singapura dan Gibraltar untuk pengisian bahan api demi menggerakkan kapal-kapal tersebut. Menurut maklumat daripada sumber-sumber perdagangan, ini mungkin meningkatkan kos operasi dan melambatkan penghantaran kepada pelanggan-pelanggan di serata dunia.

Melihat kepada senario ini, Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain dilihat tidak mahu memanjangkan krisis yang mengganggu eksport LNG. Malah, penganalisis juga agak skeptik bahawa krisis ini akan berpanjangan dan menjurus kearah ketidakstabilan serantau.

Keselamatan Negara dan Pertahanan

Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Tenggara telah meningkatkan tahap keselamatan daripada ancaman pengganas terutamanya ekoran daripada insiden-insiden keganasan yang berlaku baru-baru ini seperti di UK dan Filipina. Tuduhan terhadap Qatar sudah tentu meletakkan Malaysia dalam keadaan lebih berwaspada.

Pada Mac 2017, Malaysia dan Qatar telahpun mencapai kata sepakat untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara melalui jawatankuasa peringkat tinggi (HLC). Melalui hubungan ini, Malaysia dan Qatar akan berkongsi perancangan strategik dalam keamanan antarabangsa, berkongsi kepakaran dalam perisikan ketenteraan serta mengadakan latihan bersama.

Sekiranya tuduhan terhadap Qatar dan hubungannya dengan kumpulan pengganas mempunyai asas, kemungkinan hubungan ketenteraan ini perlu disemak semula. Malah Malaysia sudah tentu tidak mahu diletakkan di dalam senarai ‘pemerhatian’ negara yang menyokong keganasan.

Adalah menarik untuk melihat perkembangan seterusnya, sama ada Qatar memohon maaf dan kembali membaiki hubungan diplomatik dengan negara-negara berkenaan atau memilih untuk berada dalam orbit baru berkiblatkan Rusia, Turki dan Syria demi kepentingan golongan elit Qatar.

Sumber Rujukan

1. http://www.moneycontrol.com/ne ws/india/gulf-crisis-threatens -india-on-three-fronts-oil- trade-and-defence-2297889.html
2. https://www.bnbbc.my/malaysia- pantau-situasi-melibatkan-hubu ngan-qatar/
3. http://www.oic-oci.org/topic/? t_id=13665&t_ref=5945&lan=en
4. https://www.ft.com/content/cd5 3d35a-4aaa-11e7-919a-1e14ce4af 89b
5. http://m.utusan.com.my/berita/ nasional/malaysia-dan-qatar-ku kuhkan-hubungan-ketenteraan-1. 459015
6. https://www.facebook.com/aljaz eera/videos/10155625346193690/
7. https://www.rt.com/business/39 1069-qatar-saudi-arabia-gas-di spute/
8. http://www.bharian.com.my/node /244063
9. http://ameinfo.com/money/econo my/1-20bn-total-bilateral- trade-between-malaysia-and- qatar-in-2014/
10. https://www.nst.com.my/news/20 17/03/216334/malaysia-gcc-trad e-deal-hold-now

*Hanif Abdullah merupakan perunding dan penganalisa politik serta pembaca menara.my. Pandangan yang dilontarkan tidak semestinya mewakili pendirian menara.my dalam mana-mana isu

Comments