Home Tempatan KPDNKK mula operasi kesan berus cat bulu babi

KPDNKK mula operasi kesan berus cat bulu babi

SHARE
Penguatkuasa KPDNKK memeriksa berus cat yang dipercayai dibuat daripada bulu babi di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Muda Shah Alam. NSTP/ROSDAN WAHID

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor mengambil lapan sampel berus cat dipercayai diperbuat daripada bulu babi, untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub, berkata ia susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap tiga premis perkakasan binaan di sekitar bandar raya ini, hari ini.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengeluarkan dua jenis kod berus cat bulu babi, iaitu kod A913 dan A950. Pengguna beragama Islam perlu peka serta memastikan mereka tidak membeli berus yang mempunyai label kod ini.

“Jangan membeli jika ragu-ragu. Antara cara mudah untuk mengenali berus bulu babi seperti yang disarankan JAKIM adalah hujung berusnya kelihatan bercabang dan tidak halus,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi di sini, hari ini.

Abdul Rosik berkata, jika ujian makmal mendapati ia adalah berus cat bulu babi, pihaknya akan mendakwa peniaga mengikut Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu kesalahan tidak mempamerkan label dengan jelas.

“Akta Perihal Dagangan 2011 memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. KPDNKK Selangor akan terus memantau perkara ini dan esok kami akan melakukan pemeriksaan di daerah lain pula,” katanya.

Sementara itu, KPDNKK Perak merampas enam berus cat disyaki daripada bulu babi dalam pemeriksaan di 18 premis perkakasan binaan sekitar Ipoh, hari ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Perak, Suhaimi Mat Sari berkata, pemeriksaan peringkat negeri yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Nor Fadzli Mostar itu bermula jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang di kawasan sekitar Tasek, Chepor, Chemor, Kampung Simee dan Silibin.

“Hasil pemeriksaan di semua premis berkenaan menghasilkan enam kes untuk tindakan. Buat masa ini, kami tidak dapat memastikan sama ada berus terbabit mengandungi unsur berkenaan (babi) atau tidak.

“Kami akan menghantar kesemua bahan kes ke Jabatan Kimia untuk diuji kaji,” katanya.

Berita Harian

Comments