Home Tempatan KPDNKK cari teknologi baharu untuk produk halal

KPDNKK cari teknologi baharu untuk produk halal

SHARE

SELAMA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menjalankan penyelidikan dan berbincang dengan beberapa pegawai berhubung konsep halal yang akan digunakan pada produk di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia adalah bertujuan untuk memastikan adanya teknologi baharu yang boleh digunakan supaya tidak ada lagi penipuan berlaku.

Menurutnya, sebagai contoh mungkin dengan menggunakan aplikasi sahaja, pengguna sudah boleh memastikan sesuatu produk itu benar-benar menggunakan logo halal yang sah.

“Oleh itu, selepas ini kita akan bekerjasama bagi memastikan tidak ada lagi isu-isu membawa masuk benda tidak halal menggunakan logo halal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2017 dan Sambutan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Perak, di Padang Majlis Daerah Selama (MDS), hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung  tindakan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang  menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, baru-baru ini.

Tambah Hamzah, isu membawa masuk benda tidak halal sememangnya banyak, namun tindakan membawa masuk benda tidak halal menggunakan logo halal adalah satu kesalahan.

“Sekiranya mereka hendak menggunakan logo halal, haruslah mengikut etika dan jangan sesekali melanggar undang-undang.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melakukan siasatan apa kesalahan sebenar yang mereka lakukan,” katanya.

Sinar Online

Comments