Home Tempatan Konsep politik pematuhan syariah

Konsep politik pematuhan syariah

SHARE

PERKARA paling menarik dalam peristiwa negara kita adalah pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) oleh Ahli Parlimen Marang. Riuh dibuat ahli-ahli Parlimen yang kurang menyukai perundangan Islam terutamanya daripada ahli Parlimen pembangkang. Isu perundangan Islam iaitu Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 yang diperkenalkan pada 1964. Ini menunjukkan RUU 355 adalah kesinambungan perundangan yang telah dilaksanakan sejak 1965.

Pada 3 Mac 1965, Akta 355 ini dibawa Tun Abdul Rahman Yaakub dan dibahaskan oleh enam ahli Parlimen Muslim dan ahli Parlimen bukan Islam tidak mencampuri urusan perbahasan dan kelulusan akta tersebut. Dalam perbahasan tersebut, Datuk Asri Muda dari Parlimen Pasir Putih memohon jaminan kerajaan mengenai had sekatan hukuman maksimum yang boleh dikenakan mahkamah syariah. Tun Abdul Rahman menjawab dalam sesi perbahasan mengatakan had sekatan hukuman boleh dipinda dan diubah suai dari semasa ke semasa.

Pada 1984, akta pindaan 355 ini sekali lagi dibawa Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Yusof Nor dan disokong Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Radzi Syeikh Ahmad. Akta 355 ini dibahaskan selama 10 hari tanpa ada mana-mana ahli Parlimen bukan Islam mencelah atau mengganggunya ketika itu. Akhirnya diluluskan oleh Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Tuaran, Sabah iaitu Datuk Dr James P Ongkili.

RUU 355 bukan Rang Undang-Undang Persendirian yang pertama kali dibawa oleh ahli Parlimen bukan kerajaan. Ini disebabkan Rang Undang-Undang Persendirian pernah dibentangkan ahli Parlimen pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Berdasarkan sejarah Parlimen Malaysia, usul dan Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa pihak pembangkang bukan sahaja dibentangkan, malah dibahaskan dan diluluskan Parlimen. Antaranya, pada 24 Oktober 1977, tiga Rang Undang-Undang Persendirian dikemukakan dua ahli Parlimen DAP iaitu Ngan Siong Hing (Parlimen Kinta) dan Lim Kit Siang (Kota Melaka).

Rang undang-undang tersebut adalah mengenai Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Manakala satu lagi adalah Rang Undang-Undang Persendirian untuk mewujudkan Akta Melindungi Pekerja-pekerja dan Gaji Minimum 1977.

Lim Kit Siang turut membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian mengenai pindaan Akta Biro Siasatan Negara, 1973. Perbahasan dan pengundian ke atas rang undang-undang tersebut dilakukan pada 25 Oktober 1977.

Situasi yang sering kali berlaku dalam Parlimen turut dibawa keluar ke umum. Contohnya tuduhan yang mengatakan Pas menerima wang RM90 juta daripada Barisan Nasional berhubung wang dana 1MDB. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak benar seperti dengan tuduhan kes ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor menerima rasuah. Akhirnya, Khalid didapati tidak bersalah. Tuduhan ini boleh difahami apabila Pas berjaya membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 walaupun menerima kecaman daripada pembangkang. Ini menunjukkan berlakunya amalan politik heterestik.

Politik heterestik adalah satu kaedah yang bermula dengan isu retorik yang mampu mencalarkan dan menggugat imej sesebuah parti yang dikaitkan dengan kepimpinan parti tersebut. Setelah tular isu retorik ini akan digunakan 3M iaitu Managing, Manipulate dan Maneuver. Pertama isu retorik ini perlu diuruskan menjadi agenda taktikal kemudian dimanipulasikan untuk menarik perhatian dengan tujuan merosakkan kredibiliti sasaran parti atau kepimpinan parti. Akhirnya, apabila sampai kepada klimaks, isu retorik ini akan dialihkan bertujuan menggambarkan isu ini serius dan mengancam kesejahteraan manusia.

Sejak 2008 hingga kini, pelbagai kes dilemparkan kepada kepimpinan negara ini. Walaupun akhirnya telah dijelaskan bahawa kepimpinan negara tidak terlibat dalam kes 1MDB mahupun kes RM2.6 bilion. Tetapi amalan politik heterestik masih diteruskan oleh pihak tertentu yang bertujuan merosakkan persepsi rakyat ke atas kepimpinan negara.

Malah pada hari berikutnya, tersiar karikatur kartun yang menggambarkan dua tokoh Ahli Parlimen sebagai kera dalam surat khabar berbahasa Cina. Jika kritikan yang membina tiada masalah. Tetapi jika sampai mengaibkan seseorang, khususnya Ahli Parlimen adalah kurang wajar. Mahu tidak mahu politik heterestik perlu dibendung bagi mewujudkan konsep politik pematuhan syariah.

Ini bertujuan menjamin kestabilan negara. Malah, politik pematuhan syariah juga perlu diwujudkan di Parlimen bagi mengawal kelakuan ahli-ahli Parlimen yang dipertontonkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Ini amat penting supaya krisis yang berlaku di Parlimen dan melibatkan budaya politik heterestik dalam kalangan pemimpin-pemimpin tertentu tidak menular dalam masyarakat. Situasi ini mampu menyempitkan kehidupan keharmonian rakyat marhaen.

Sinar Online

Comments