Home Tempatan Konsep adab berkomunikasi

Konsep adab berkomunikasi

SHARE

AL-HUJURAT merupakan surah yang ke-49 dalam al-Quran. Surah ini diturunkan di Madinah dan mengandungi sebanyak 18 ayat. Al-Hujurat bermaksud bilik-bilik iaitu merujuk kepada rumah-rumah kecil Rasulullah SAW yang didiami para isteri Baginda dan terletak di sekitar Masjid Nabawi di Madinah.

Konteks makna Al-Hujurat difirmankan oleh ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-4 dan ke-5: “Sesungguhnya orang-orang yang menyeru kamu dari belakang bilik-bilik kebanyakan mereka tidak menggunakan akalnya. Jika mereka bersabar sehingga kamu keluar kepada mereka, sesungguhnya itulah yang terbaik bagi mereka”.

Kedua-dua ayat ini merujuk kepada kisah tentang bagaimana Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki Badwi bernama Al-Aqra’ Al-Tamimi yang datang untuk bertemu tetapi berteriak dengan kuat dengan panggilan: “Wahai Muhammad! Wahai Muhammad! dari luar bilik-bilik Baginda.

Perbuatan ini dilihat tidak beradab dan mengganggu Rasulullah yang sedang berehat serta tidak menghormati waktu peribadi Baginda.”

Manakala ayat 1 hingga 3 dalam surah ini menjelaskan tentang perimeter umat Islam untuk menjaga kelakuan dan dan membina sikap yang beradab. Kelakuan dan sikap ini jika diuruskan dengan betul boleh melonjakkan umat Islam menjadi umat yang cemerlang dan seterusnya mencipta peradaban.

Adab merujuk kepada kelakuan dan sikap yang ditunjukkan individu Muslim dengan Muslim yang lain, khususnya dalam konteks berkomunikasi.

Namun, prasyarat untuk mencapai sifat Muslim yang beradab ini dijelaskan oleh ALLAH SWT dalam ayat 1 dan 2 dengan firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului ALLAH dan Rasul, dan bertakwalah kepada ALLAH sesungguhnya ALLAH maha mendengar lagi maha mengetahui. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengangkat suara mu mengatasi suara Nabi dan janganlah kamu berkeras kepadanya dengan kata-kata sebagaimana berkerasnya setengah kamu dengan yang lain, bahawa sikap itu akan menghapuskan kamu dalam keadaan kamu tidak menyedarinya”.

Pada ayat tersebut ALLAH SWT melarang orang-orang Mukmin bagi memberikan pandangan yang bertentangan dan berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh ALLAH dalam al-Quran dan yang dinyatakan dalam hadis dan Sunnah Rasulullah SAW.

Ertinya Islam tidak menegah umatnya memberikan pandangan dalam apa jua bidang selagi pandangan tersebut tidak menyalahi dan bertentangan dengan apa yang diturunkan dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Kebebasan berfikir dan memberikan pandangan dalam Islam diikat oleh parameter yang ditetapkan oleh ALLAH dan Rasul.

Manakala  pada ayat ke-2, ALLAH SWT meletakkan batasan had berkomunikasi bersama Rasulullah sebagai contoh kepada cara yang betul untuk berkomunikasi dengan individu Muslim yang lain. Meninggikan suara dan berkeras dengan lantang mempertahankan pandangan bukanlah tergolong dalam adab Islam.

Lantas bersuara tinggi dan keras sebenarnya hanya membuka ruang kepada seseorang individu Muslim itu untuk menggunakan perkataan-perkataan yang tidak enak didengari.

Kedua-dua ayat di atas sangat signifikan untuk direnungkan. Lantaran kemajuan teknologi komunikasi pada hari ni menyebabkan kebebasan bersuara dan memberikan pandangan sangat terbuka.

Kewujudan media sosial seperti WhatsApp dan Facebook sebagai contoh, menjadi medan terbuka bagi semua pihak melepaskan geram, memberikan komen tajam, sinis dan penuh sindiran serta menggunakan pelbagai perkataan yang tidak enak. Meskipun tiada suara yang mampu ditinggikan dalam media sosial, tetapi setiap baris ayat yang ditulis boleh menjadi lebih tinggi dan negatif dari suara yang dikeluarkan.

Pada ayat ke-3 pula ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara mereka di sisi Rasulullah adalah orang-orang yang diuji hati mereka untuk bertakwa, merekalah orang-orang yang diampunkan dan mendapat ganjaran yang besar”.

Dalam konteks ini, umat Islam perlu menjadikan wadah media sosial yang ada pada hari ini sebagai tempat untuk mengubah persepsi dan pandangan negatif yang dilontarkan oleh saudara Islam yang lain. Merendahkan suara dalam konteks ayat ini boleh difahami sebagai membalas kata-kata nista, ugutan dan sumpah seranah dengan kata-kata yang baik, penuh hikmah dan peringatan. Sesungguhnya ALLAH menjanjikan pahala dan keampunan kepada orang-orang  yang bertakwa.

Bersambung…

Sinar Online

Comments