Home Antarabangsa Komando serbu persembunyian Daesh, selamat 78 mangsa

Komando serbu persembunyian Daesh, selamat 78 mangsa

SHARE

DHAKA: Tentera Bangladesh menyerbu tempat persembunyian suspek Daesh dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 78 orang awam dalam satu operasi di timur laut negara ini, hari ini.

Jurucakap tentera, Kolonel Rashidul Hasan berkata, pasukan komando yang dibantu kereta perisai melancarkan serangan selepas rundingan selama lebih 30 jam dengan puak militan dalam sebuah bangunan lima tingkat di bandar Sylhet sejak semalam, menemui jalan buntu.

“Semua 78 mangsa yang terperangkap lebih sehari dalam bangunan itu sudah diselamatkan oleh anggota komando,” katanya.

Menurutnya, serbuan bermula pada jam 7 pagi waktu tempatan dan anggota komando masih berbalas tembakan dengan suspek Daesh yang terperangkap di tingkat bawah bangunan itu.

Jurucakap polis Sylhet, Zedan Al Musa berkata polis menggunakan pembesar suara mendesak suspek menyerah diri, bagaimanapun mereka enggan mengalah.

Pihak tentera tidak pasti jumlah sebenar suspek Daesh terbabit tetapi menurut polis kumpulan itu termasuk dua wanita. – AFP

Berita Harian

Comments