Home Tempatan Kikis tanggapan tamadun Islam milik orang Arab

Kikis tanggapan tamadun Islam milik orang Arab

SHARE

BANGI: Persepsi tamadun Islam milik orang Arab perlu dikikis kerana ia tidak bertepatan dengan konsep ketamadunan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata tamadun Islam bukan milik sesuatu bangsa sebaliknya kepunyaan umat Islam secara keseluruhannya.

“Tamadun Islam tidak dinafikan bermula di Arab kerana Rasulullah SAW berbangsa Arab dan ia berkembang menerusi ajaran Al-Quran dan sunnah.

“Jika kita hendak mengukur tamadun Islam dengan tamadun Arab semata-mata, itu salah. Tamadun Islam diasaskan Rasulullah SAW melalui pengajaran Islam itu sendiri.

“Saya melihat tamadun Islam itu menerusi pegangan umat dan ramainya orang yang menganuti,” katanya pada Seminar Kebangsaan Tamadun dan Warisan Islam (TAWIS) 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TAWIS 2017, Prof Madya Dr Fariza Md Sham.

Sementara itu, Fariza berkata, masyarakat dunia menafikan wujud ketamadunan Islam kerana melihat masyarakatnya sebagai bermasalah.

“Umat Islam dianggap sebagai pengganas, dikaitkan dengan Islamofobia dan dikatakan masyarakat yang kurang berinovasi.

“Jadi imej Islam perlu diperbetulkan dengan satu pencapaian tamadun seperti kegemilangan Islam satu masa dulu,” katanya.

Fariza berkata, umat Islam perlu bangkit menguasai ilmu teknologi supaya kita tidak sekadar menjadi pengguna, sebaliknya dikenali sebagai pereka cipta.

Seminar bertemakan Tamadun dan Peradaban Islam: Merekayasa Kreativiti dan Inovasi itu, membincangkan isu semasa dan cabaran dalam tamadun Islam yang dihadapi dalam konteks pendidikan, kebudayaan, kesenian, hiburan dan politik.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Berita Harian

Comments