Home Tempatan Khutbah: Rakyat diseru taat setia kepada Raja

Khutbah: Rakyat diseru taat setia kepada Raja

SHARE

Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru rakyat meletakkan kesetian kepada Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Menurut teks khutbah itu, ini kerana Baginda merupakan seorang Raja yang berjiwa rakyat dan sanggup mencemar duli bersama-sama rakyat jelata dalam keadaan susah dan senang.

Kata mimbar, ketaatan dan kesetiaan itu haruslah diletakkan sebagaimana layaknya ketaatan dan penghormatan yang dibawa oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ia adalah menghormati dan memuliakan kedudukannya sebagai pemimpin dan mengingkari keburukan yang dilakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syarie.

“Mimbar menjunjung kasih dan merafak ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pertabalan Baginda. Sesungguhnya prinsip keadailan, kesaksamaan dan perpaduan yang diterapkan oleh Tuanku akan lebih menyatukan rakyat di negara ini.

“Sebagai timbal balas, rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang besar kepada Raja yang adil iaitu memelihara undang-undang yang menjaga keselamatan dan hak kita, menghormati dan menghargai institusi Yang di-Pertuan Agong dan menanam rasa cinta terhadap negara,” kata mimbar.

Khutbah bertajuk ‘Daulat Dijunjung, Kasih Disanjung’ disampaikan sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Comments